Uncategorized

PM Anwar tak pernah bincang dalam mesyuarat jemaat menteri

Oleh: Tyah Helmi

TAWAU: Isu rombakan kabinet tidak pernah menjadi agenda perbincangan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri setakat ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus menepis spekulasi yang berlegar mengenai perubahan dalam pentadbiran Kerajaan Madani.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Program Jelajah Malaysia Digital di Pasar Taman Semarak, Tawau, Sabah, susulan khabar angin yang mendakwa rombakan kabinet bakal berlaku dalam masa terdekat.

“Dia rombakan kabinet tu, kita tak bincang dengan Mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya ringkas.

Menurut Anwar, fokus utama mesyuarat ketika ini adalah terhadap isu tata kelola dan aspek perundangan berkaitan rayuan kes Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang menjadi antara keutamaan pentadbiran beliau.

“Mesyuarat Jemaah Menteri tu, seperti mana saya bayangkan, keputusan memuktamadkan soal sama ada, merayu atau tidak, tapi seperti biasa, negara ini negara hukum.

“Ada proses dia. Maka kita dengar dulu peguam negara. Kemudian kita putuskan,” katanya lagi, dipetik daripada rakaman video Pejabat Perdana Menteri pada Isnin.

Anwar berkata, beliau telah menyampaikan bayangan pendirian kepada anggota kabinet, namun keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas perbincangan bersama Jemaah Menteri.

“Bayangan pendirian saya, saya telah sampaikan.

“Jadi, kita muktamadkan esok (Selasa) setelah bincang dengan Jemaah Menteri.

“Okey? Marah-marah tak ada maknanya,” ujar beliau dalam nada tenang.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menegaskan komitmen Kerajaan Madani terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 khususnya dalam memperkukuh hak dan peruntukan kepada Sabah dan Sarawak.

“Sebab, Kerajaan Madani ini lebih tegas soal MA63, lebih kukuh melaksanakannya dan lebih terjamin dari segi peruntukan kepada sahabat-sahabat.

“Banding saja peruntukan sebelum ini,” katanya.

Related Articles

Back to top button