Bukti Kerajaan Perpaduan prihatin hak tertangguh 40 peratus hasil Sabah – Penganalisis

PETALING JAYA: Pendekatan yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan langkah terbaik demi memastikan kemelut Pemberian Khas 40 peratus hasil kepada Sabah dapat ditamatkan segera.
Menurut Penganalisis Politik dan Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM), Dr Muhammad Tawfik Yaakub, pendekatan berhemah itu merupakan solusi terbaik dalam memastikan hubungan baik dalam konteks semangat Federalisme antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah.
“Kita tidak mahu berlaku perkara-perkara seperti mana sebelum ini, krisis atau konflik sebelum penubuhan Kerajaan Perpaduan melibatkan Kerajaan Sabah dengan kerajaan yang terdahulu.
“Tapi kita lihat apabila Kerajaan Perpaduan mentadbir selama tiga tahun, kita nampak pelbagai rundingan dan kerjasama hasil diturunkan ataupun disegerakan bukan sahaja kepada Sabah tetapi juga kepada negeri-negeri lain.
“Ini membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan melalui kepimpinan Perdana Menteri sangat prihatin dan meneliti tentang hak serta keperluan yang telah lama tertangguh akibat perbezaan politik kerajaan sebelum ini. Kita lihat perkara ini dibuktikan melalui kejayaan pimpinan Kerajaan Perpaduan hari ini, katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual oleh Malaysia Bangkit pada Rabu, bagi mengulas kembali Kerajaan memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, sebaliknya memilih untuk memulakan rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah dengan kadar segera.

Menyentuh mengenai isu tersebut bersama keadaan semasa Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17, Dr Tawfik menyatakan bahawa solusi rundingan memberi impak yang positif kerana ia mengekalkan suasana selesa daripada sebarang ketegangan di antara Kerajaan Persekutuan bersama parti-parti komponennya di negeri Sabah.
“Tindakan ini merupakan pilihan yang terbaik untuk memastikan bahawa komponen ataupun pemimpin-pemimpin yang sebelum ini juga merupakan sebahagian daripada komponen Kerajaan Persekutuan dapat berhadapan dengan PRN Negeri Sabah dengan begitu selesa dan tenang tanpa ada pertumbuhan ataupun persaingan yang begitu sengit berkaitan dengan isu-isu semasa
“Maka PRN Sabah ini merupakan satu indikator untuk menilai sejauh manakah kejayaan yang boleh dicapai ataupun sokongan terhadap apa yang telah dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan berkaitan dengan perkara 40 peratus hasil yang sepatutnya diberikan kepada Negeri Sabah,” ujarnya.
Beliau sekali lagi memuji akan tatakelola Perdana Menteri ketika menyelia Kerajaan Persekutuan yang dilihat sangat prihatin dan teliti tentang hak Sabah yang telah lama tertangguh dek kerana perbezaan politik oleh kerajaan sebelum ini.
“Ini membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan melalui kepimpinan Perdana Menteri sangat prihatin dan meneliti tentang hak serta keperluan yang telah lama tertangguh akibat perbezaan politik kerajaan sebelum ini. Kita lihat perkara ini dibuktikan melalui kejayaan pimpinan Kerajaan Perpaduan hari ini,” jelas beliau.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Kerajaan Persekutuan mengambil pendekatan berhemah dengan memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung Pemberian Khas 40 peratus hasil kepada Sabah, sebaliknya memilih untuk memulakan rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah dengan kadar segera.
Keputusan itu dimaklumkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) menerusi satu kenyataan media pada Selasa yang berkata, Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip Pemberian Khas sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Mesyuarat Khas Jemaah Menteri telah diadakan pada 11 November 2025 bagi membincangkan berkenaan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu terkait Pemberian Khas Negeri Sabah yang diputuskan dalam Permohonan Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society terhadap Kerajaan Malaysia,” katanya.



