Anwar Yakin Dengan Kebijakan ‘Urang Sabah’ Buat Pilihan
INANAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keyakinannya bahawa rakyat Sabah atau urang Sabah mampu membuat pilihan yang bijak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Kepercayaan ini bertitik tolak berdasarkan rekod kerja dan pencapaian sebenar Kerajaan MADANI sepanjang tiga tahun mentadbir negara.
Berucap di Inanam, Anwar berkata, kempen Pakatan Harapan (PH) bukan bersandarkan retorik tetapi berteraskan pencapaian jelas yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Antaranya peruntukan sekitar RM15 bilion bagi STR dan SARA, kenaikan gaji penjawat awam tertinggi dalam sejarah selepas 12 tahun serta peningkatan gaji minimum kepada RM1,700.
Dalam isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Anwar menegaskan bahawa Kerajaan MADANI telah menunaikan sembilan daripada 13 tuntutan termasuk menaikkan Pemberian Khas Sabah kepada RM600 juta, jumlah tertinggi pernah direkodkan.
Beliau turut mengumumkan bahawa rundingan rasmi berhubung formula pemberian 40 peratus hasil akan bermula Isnin ini.
“Ini bukti komitmen kerajaan. Yang patut dipersoalkan ialah mereka yang pernah memegang kuasa Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Menteri.
“Apa yang kalian lakukan ketika berkuasa, sedangkan rakyat masih berdepan isu asas seperti air, elektrik dan jalan raya?” katanya.
Anwar menambah bahawa rakyat Sabah berhak mendapat kepimpinan yang benar-benar bekerja untuk kesejahteraan mereka, bukannya pemimpin yang sibuk mengaut kekayaan peribadi.
“Saya percaya urang Sabah cukup bijak. Mereka tahu siapa yang betul-betul mahu bekerja menyelesaikan masalah warisan ini,” ujarnya.
Beliau menyeru rakyat memilih calon yang membawa harapan dan rekod kerja, bukan sekadar slogan.
PRN Sabah dijangka menjadi antara medan penting untuk menentukan hala tuju hubungan Sabah–Persekutuan di bawah pentadbiran MADANI.



