Uncategorized

Anwar atasi personaliti Trump ketika dunia sifatkan ia sukar – Presiden Timor Leste

PETALING JAYA: Presiden Timor Leste, Jose Ramos-Horta mengakui bahawa sukar untuk menangani personaliti tegas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, namun menyatakan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya melakukannya.

Dalam pertemuan bersama pempengaruh media sosial, Isa Isarb, Ramos-Horta berkata beliau menganggap Anwar sebagai antara pemimpin terbaik di rantau ini.

“Kamu ada pemimpin yang terbaik seperti Anwar Ibrahim, saya kawan baik bersama Anwar. Anwar Ibrahim adalah pemimpin yang baik dan karismatik,” katanya.

Ramos-Horta turut menggambarkan Anwar sebagai salah satu daripada dua figura paling menonjol, bersama Donald Trump, ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang diadakan di Kuala Lumpur pada baru-baru ini.

Beliau menambah bahawa Trump sendiri sering memuji kepimpinan Anwar.

“Donald Trump banyak kali puji Anwar, itu jarang berlaku sebab, Trump tidak selalu puji orang sebegitu di khalayak ramai,” ujarnya.

Presiden Timor Leste itu turut menyifatkan Malaysia sebagai negara bertuah kerana memiliki pemimpin seperti Anwar Ibrahim, sambil memuji kemajuan pesat negara ini.

Kata beliau, Malaysia kini berevolusi dengan kadar yang luar biasa dan tidak lagi layak digelar negara dunia ketiga, berikutan pembangunan infrastruktur moden dalam sektor pengangkutan, kesihatan dan struktur nasional.

Ujarnya, dunia kini berada dalam era paling mencabar, namun Malaysia berjaya mengharungi cabaran tersebut dengan baik.

Sebelum ini, Isa Isarb dijemput menghadiri kunjungan khas ke Istana Dili sebagai penghargaan atas usahanya mempromosikan sektor pelancongan Timor-Leste.

Pertemuan bersama Ramos-Horta itu turut membuka ruang kepada perbincangan pelbagai isu antaranya pendidikan, ekonomi, ASEAN serta hal ehwal global.

Video lawatan berkenaan turut menarik perhatian warga maya, yang memuji usaha Isa memaparkan keunikan budaya dan destinasi menarik di Timor-Leste yang sebelum ini kurang mendapat perhatian umum.

Related Articles

Back to top button