Kanak-Kanak Bawah 16 Tahun Dilarang Buka Akaun Media Sosial Mulai Tahun Depan

PUTRAJAYA: Kanak-kanak Malaysia berusia bawah 16 tahun tidak lagi dibenarkan mendaftar akaun media sosial mulai tahun depan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, sebagai langkah kerajaan memperkukuh keselamatan dalam talian bagi golongan bawah umur.
Menurut Fahmi, kerajaan menjangkakan semua platform media sosial mematuhi larangan tersebut apabila ia berkuat kuasa, seperti dilaporkan BH Online.
“Kita harap menjelang tahun depan, platform-platform media sosial akan akur dengan keputusan kerajaan untuk melarang kanak-kanak bawah 16 tahun membuka akaun media sosial,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan itu akan dibuat melalui Akta Keselamatan Dalam Talian bersama Akta Komunikasi dan Multimedia, selain kajian terhadap model pelaksanaan di negara seperti Australia yang turut menetapkan had umur serupa.
Fahmi menjelaskan kerajaan sedang meneliti mekanisme penguatkuasaan yang sesuai, termasuk mewajibkan platform menggunakan proses pengesahan identiti eKYC yang melibatkan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID.
“Kita menjangkakan platform dapat melaksanakannya menjelang tahun depan. Dengan kerjasama kerajaan, badan kawal selia dan ibu bapa, kita boleh memastikan internet di Malaysia bukan sahaja pantas, meluas dan mampu milik, tetapi yang paling penting, selamat,” katanya sambil memaklumkan Australia akan melaksanakan had umur sama bulan depan.
Larangan tersebut akan berkuat kuasa 1 Januari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian, susulan keputusan Kabinet menaikkan had umur minimum media sosial daripada 13 kepada 16 tahun sebelum ini. Ketetapan itu turut mewajibkan platform mengesahkan umur pengguna melalui dokumen rasmi menggunakan sistem eKYC.
Fahmi turut mengingatkan ibu bapa supaya menghadkan masa skrin, menggalakkan aktiviti luar dan memantau penggunaan gajet anak-anak bagi mengurangkan risiko pendedahan kepada kandungan tidak sesuai.
Bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengaitkan penggunaan media sosial tanpa kawalan dengan peningkatan insiden keganasan melibatkan pelajar. Beliau berkata kebanyakan kes kembali berpunca kepada penggunaan telefon pintar dan aplikasi yang tidak dipantau.
Kenyataan itu dibuat selepas seorang pelajar Tingkatan Empat maut ditikam di tandas sekolah oleh rakan sekolah berusia 14 tahun di Bandar Utama, selain kes empat pelajar Tingkatan Lima yang ditahan berhubung dakwaan rogol beramai-ramai seorang pelajar Tingkatan Tiga di Alor Gajah, Melaka.



