Ribut Tropika Senyar Semakin Lemah, Namun Cuaca Buruk Dijangka Berterusan Hingga Sabtu

oleh Nadhirah Akmam
PETALING JAYA: Ribut Tropika Senyar yang melanda negara sejak Khamis dilaporkan semakin lemah selepas membuat pendaratan di kawasan pantai antara Selangor dan Negeri Sembilan sekitar tengah malam tadi, sekali gus diturunkan statusnya kepada sistem tekanan rendah.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), sistem itu kini berada di kawasan tengah Semenanjung Malaysia dan bergerak ke arah timur menuju perairan Laut China Selatan.
Ketua Pengarah MET Malaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip, berkata walaupun ribut tersebut telah kehilangan kekuatan, pembentukan awan hujan masih aktif dan terus membawa potensi cuaca buruk di beberapa negeri.
Beliau menjelaskan bahawa hujan lebat berterusan, angin kencang serta laut bergelora dijangka memberi kesan terutama di Pahang dan Terengganu.
“Keadaan cuaca ini dijangka berlarutan sehingga 29 November 2025,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
MET Malaysia akan terus memantau situasi semasa dan mengeluarkan amaran baharu sekiranya terdapat perubahan ketara.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini melalui portal rasmi MET Malaysia, aplikasi myCuaca, media sosial serta talian hotline.
Agensi itu juga mengingatkan bahawa kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan keselamatan, terutamanya di kawasan yang berisiko mengalami banjir dan angin kencang.



