Shamsul Iskandar Hargai Sumbangan Orang Ramai Bantu Bayar Ikat Jamin

SHAH ALAM: Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, meninggalkan Kompleks Mahkamah Shah Alam pada Jumaat dengan wajah tenang selepas selesai urusan ikat jamin, sambil diiringi doa daripada pasukan peguamnya.
Shamsul turut menzahirkan penghargaan kepada rakan-rakan dan penyokong yang membantu mengumpulkan dana bagi membayar wang jaminan tersebut.
“Saya ucap terima kasih kepada semua rakan-rakan yang bantu, paling tidak pun untuk bantu saya dapatkan dana untuk wang ikat jamin yang saya ingat sangat tinggi,” katanya ringkas ketika ditemui media.
Beliau juga meminta agar semua pihak terus mendoakan kesejahteraannya sepanjang proses undang-undang yang sedang dihadapinya.
“Terus berdoa, insya-Allah. Terima kasih,” katanya lagi.
Suasana di perkarangan mahkamah dilaporkan terkawal dengan kehadiran beberapa penyokong yang setia menunggu sejak pagi bagi mengikuti perkembangan kes berkenaan.
Shamsul dilihat ditemani peguam sepanjang proses dokumentasi sebelum dibenarkan keluar selepas semua urusan selesai.



