PM Dijadual Rasmi Penutup Program Rancakkan MADANI Esok

oleh Nadhirah Akmam
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyempurnakan Majlis Penutup Program Rancakkan MADANI pada Ahad, bermula pukul 11 pagi di Pentas Utama, Dataran Putrajaya.
Majlis penutup itu dijangka menjadi kemuncak kepada penganjuran program yang sepanjang minggu telah menghimpunkan rakyat melalui pelbagai pengisian berteraskan nilai perpaduan dan semangat Malaysia MADANI.
Menurut penganjur, kehadiran Anwar melambangkan sokongan kerajaan terhadap usaha memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat.
“Tonton secara langsung menerusi saluran televisyen tempatan,” menurut penganjur dalam satu kenyataan.
Bagi mereka yang tidak berkesempatan hadir secara fizikal, majlis berkenaan boleh diikuti melalui siaran langsung di saluran televisyen tempatan.
Sepanjang penganjuran, pelbagai aktiviti melibatkan seni, budaya, perkhidmatan awam dan interaksi komuniti telah diadakan dengan sambutan menggalakkan.
Program itu turut mendapat penyertaan menyeluruh daripada pelbagai kementerian, jabatan serta agensi kerajaan.
Program Rancakkan MADANI merupakan inisiatif kerajaan bagi mendekati rakyat melalui pendekatan menyeluruh yang menekankan nilai kebersamaan, keterangkuman dan kemakmuran, selaras gagasan #BersamaMalaysiaku.
Jumpa anda di Putrajaya!



