CSAM penuh sisi gelap, wajar dikekang di semua platform – Pakar

MALAYSIA kini berdepan ancaman keselamatan digital yang semakin ‘gelap’ dan berbahaya apabila pengedaran bahan eksploitasi seksual kanak-kanak atau “Child Sexual Abuse Material” (CSAM) bergerak aktif melalui saluran tersembunyi dan peribadi.
Modus operandi oleh penyebar kandungan jelik itu tidak lagi bergantung kepada platform terbuka, sebaliknya memanfaatkan ruang komunikasi tertutup yang sukar dijejaki oleh pihak berkuasa.
Menurut Pakar Keselamatan Digital dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Selvakumar Manickam, kebanyakan orang awam masih menyangka kandungan terlarang tersebar di platform terbuka.
“Kandungan CSAM ini semakin sukar dikesan susulan penggunaan teknologi yang manipulasi imej seperti AI yang memaparkan kandungan begitu realistik tetapi tidak menyerupai kandungan asal.
“Ianya, menjadi rujukan sistem pengisian oleh pelaku bagi mengaburi mata pihak berkuasa antaranya dengan menyunting imej dan video kanak-kanak, mencipta akaun palsu melalui VPN ataupun rangkaian “dark web” dan lain-lain,” katanya ketika ditemu bual Malaysia Bangkit.

Walaupun teknologi keselamatan semakin canggih, pengesanan awal CSAM masih menjadi cabaran besar.
Katanya, sistem saringan digital bergantung kepada pangkalan data imej yang telah dikenali, namun gelombang kandungan janaan kecerdasan buatan (AI) telah mengubah landskap keselamatan teknologi negara.
“Sekarang, imej dan video boleh dijana dari secara terus menggunakan AI.
“Sistem tradisional tidak dapat mengenal pasti kandungan ini kerana ia tidak wujud dalam pangkalan data asal.
“Kita sedang berdepan ancaman yang bergerak lebih pantas daripada sistem perlindungan,” ujarnya.
Tambah beliau, teknik “Deepfake” turut disalahgunakan untuk menyebarkan wajah kanak-kanak ke dalam bahan palsu yang begitu tampak sangat realistik.
“Ini bukan sahaja menyukarkan pengesanan, malah membuka ruang baharu kepada pemerasan seksual, ugutan dan eksploitasi berpanjangan terhadap mangsa,” tambahnya.

Secara realitinya, di dunia sebenar dan bukannya maya menunjukkan bahawa penguatkuasa khususnya Suruhanjaya Multimedia Malaysia (MCMC) sering berdepan dengan ratusan ribu kandungan CSAM yang dilihat dimuat naik, dipadam, dan dipindahkan ke pelayan lain dalam tempoh beberapa minit sahaja sebelum pihaknya berjaya memberkas penyebaran gejala terkutuk itu.
Dalam pada itu katanya, pelaku turut bijak dalam menyebarkan kandungan CSAM secara pantas tanpa meninggalkan sebarang jejak digital yang jelas.
“Penggunaan kod bahasa, emoji dan istilah berlapik turut menjadi lapisan perlindungan tidak rasmi bagi komuniti tertutup ini, yang menyukarkan lagi pemantauan masa di alam nyata,” ujarnya.
Di sebalik angka dan operasi, wujud kisah mangsa yang jarang didengar, kanak-kanak yang menjadi sasaran bukan sekadar berdepan risiko fizikal, malah trauma emosi yang berpanjangan.
Prof. Selvakumar berkata, “Apabila imej seorang kanak-kanak tersebar, kerosakan itu bukan sekadar saat itu. Ia menghantui mereka sepanjang hidup rasa malu, ketakutan, kemurungan, malah ada yang berdepan gangguan tekanan pascatrauma (PTSD).”
Lebih menyedihkan lagi apabila terdapat mangsa yang tidak berani bersuara kerana takut disalahkan, diugut oleh pelaku, atau tidak memahami bahawa mereka sedang dieksploitasi.
Tegas beliau bahawa era “platform berkecuali” sudah berakhir, media sosial kini memiliki algoritma yang sangat berkuasa untuk mengesan trend tingkah laku, namun sering tertumpu kepada pengoptimuman iklan dan keuntungan.
“Platform sudah ada keupayaan teknikal.
“Yang kurang ialah kemahuan untuk menjadikan keselamatan kanak-kanak sebagai keutamaan mutlak,” tegasnya.
Pada masa yang sama, isu pengesahan umur kini menjadi topik utama yang sering dihangatkan oleh masyarakat awam di Malaysia secara jelasnya.

Kerajaan Madani dalam langkah yang pantas telah memutuskan satu keperluan khusus yang mahu menjadikan agar seluruh platform di media sosial dapat mengesahkan umur pengguna dan menghalang penciptaan akaun bagi individu bawah 16 tahun yang selari dengan hala tuju kebangsaan untuk tanpa sistem pengesahan yang kukuh, kanak-kanak bawah 16 tahun masih dengan mudah mencipta akaun, menyertai kumpulan tertutup dan terdedah kepada kandungan berbahaya.
“Pengesahan umur bukan lagi isu teknikal, ia sudah menjadi tanggungjawab moral dan keselamatan negara. Jika kita gagal di peringkat ini, kita membiarkan kanak-kanak masuk ke ruang yang mereka belum mampu hadapi,” ujar Selvakumar.
MCMC pada November lalu telah mencadangkan serta dalam tindakan perbincangan untuk menetapkan larangan buat hanya kanak-kanak berusia 16 tahun ke bawah memiliki akaun media sosial sendiri disasar mulai tahun depan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata langkah itu merupakan antara inisiatif bagi mengekang jenayah siber rentas usia serta melindungi kanak-kanak daripada risiko eksploitasi dalam talian dan pemangsa seksual.
Menurut beliau, antara mekanisme yang sedang diteliti ialah pelaksanaan pengesahan Electronic Know Your Customer (eKYC) yang akan diwajibkan kepada platform media sosial.

“Ini adalah keputusan Kabinet bahawa kanak-kanak di bawah umur 16 tahun akan dilarang daripada membuka akaun media sosial. Dari segi mekanisme, salah satu cara ialah memastikan platform media sosial melaksanakan sistem eKYC (Electronic Know Your Customer) menggunakan dokumen rasmi kerajaan seperti pasport, MyKad, dan MyDigital ID.
Kita menjangkakan, menjelang tahun depan, platform-platform ini akan dapat melaksanakan sistem tersebut.” ujarnya.
Justeru, langkah itu selari dengan hala tuju Kerajaan Madani yang menekankan keperluan kawalan umur lebih ketat dan pematuhan platform terhadap standard keselamatan yang lebih tinggi.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengarahkan penurunan lebih 82,000 kandungan tidak bermoral sejak 2022 hingga pertengahan 2025. MCMC turut bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia melalui operasi khas seperti “Op Pedo” bagi mengekang rangkaian pengedaran CSAM di seluruh negara.
Di Malaysia, peranan Kerajaan Madani dan PDRM kini berada di barisan hadapan yang mana satu operasi besar-besaran telah dipertingkatkan dengan sebuah tindakan tindakan melalui arahan penurunan puluhan ribu kandungan melanggar undang-undang sejak 2022 hingga 2025.
Kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia turut diperkukuhkan menerusi operasi bersepadu seperti “Op Pedo”.
Operasi ini bukan sekadar menangkap pelaku, tetapi memutuskan rangkaian digital, menjejak aliran kewangan dan memantau pola penyebaran kandungan.
Perlindungan kanak-kanak memerlukan sekatan awal terhadap bahan haram, semakan konsisten, mekanisme pengesahan umur yang boleh dipercayai serta tahap akauntabiliti platform yang tidak boleh dikompromi.
Dalam dunia digital yang semakin kompleks, satu kelompongan sahaja sudah cukup untuk menghancurkan masa depan seorang kanak-kanak.



