Fitch Kekal Penarafan Kredit Malaysia ‘BBB+’, Prospek Stabil

PUTRAJAYA: Malaysia terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila agensi penarafan global, Fitch Ratings mengekalkan penarafan kredit berdaulat negara pada tahap ‘BBB+’ dengan prospek stabil.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, penarafan tersebut diperkukuh oleh prestasi kukuh Malaysia dalam penunjuk alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) termasuk skor melebihi median global bagi kestabilan politik, kedaulatan undang-undang, kualiti institusi dan kawalan rasuah.
Fitch berkata, kestabilan politik menjadi pemangkin kepada kepastian dasar yang lebih baik, sekali gus mewujudkan kitaran positif bagi pertumbuhan jangka sederhana dan pengukuhan daya tahan fiskal negara.
Agensi itu mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 4.6 peratus pada 2025, menghampiri had atas julat unjuran rasmi kerajaan antara 4 hingga 4.8 peratus.
“Pasaran buruh pula dijangka kekal cergas sehingga 2026, dengan kadar pengangguran pada paras terendah dalam tempoh 11 tahun.
“Kenaikan gaji turut menyokong perbelanjaan isi rumah, dipacu oleh pelaburan teknologi dan kecerdasan buatan yang meningkat 13.2 peratus bagi sembilan bulan pertama 2025,” menurut kenyataan itu.
Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia berjaya mengharungi ketidaktentuan tarif global pada 2025 yang berakhir dengan perjanjian saling menguntungkan bagi menyokong eksport dan mengukuhkan ekonomi negara.
“Walaupun persekitaran global kekal mencabar, kerajaan akan terus melaksanakan reformasi yang digariskan di bawah kerangka Ekonomi MADANI,” katanya dalam kenyataan sama.
Fitch turut mengiktiraf kemajuan reformasi fiskal Malaysia termasuk pengurangan defisit Persekutuan kepada 3.8 peratus daripada KDNK pada 2025 dan sasaran 3 peratus menjelang 2028.
Langkah itu disokong oleh peluasan hasil, rasionalisasi subsidi serta pengukuhan rangka kerja perundangan seperti Akta Tanggungjawab Fiskal 2023 dan Akta Perolehan Kerajaan 2025.



