Nasional

380 Pegawai Perubatan, Jururawat Ke Fasiliti Kesihatan – KKM

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan mobilisasi seramai 380 pegawai perubatan, jururawat dan Penolong Pegawai Perubatan ke fasiliti kesihatan di seluruh negara sebagai langkah memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Pelaksanaan itu dibuat selaras dengan kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam, 7 Disember lalu.

Dalam satu kenyataan, KKM berkata, langkah itu bertujuan memastikan fasiliti kesihatan sentiasa berada pada tahap kekuatan optimum khususnya di kawasan yang berdepan kekurangan anggota.

“Mobilisasi ini adalah komitmen KKM untuk memastikan rakyat menerima perkhidmatan kesihatan terbaik tanpa mengira lokasi.

“Selain pegawai perubatan, skim jururawat dan Penolong Pegawai Perubatan turut terbabit dalam penempatan semula dari Ibu Pejabat KKM ke fasiliti kesihatan.

“Usaha ini menyokong agenda Pengukuhan Agensi Barisan Hadapan di bawah reformasi perkhidmatan awam khususnya bagi merakyatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan,” kata KKM dalam satu kenyataan pada Rabu.

KKM turut memaklumkan bahawa kajian menyeluruh akan dijalankan bagi menilai impak dan keberkesanan mobilisasi ini dalam jangka panjang.

“Hasil kajian itu penting bagi menentukan kebolehlaksanaan mobilisasi anggota kesihatan pada masa hadapan,” jelas kenyataan itu lagi.

Related Articles

Back to top button