Bendung CSAM dari awal, awasi anak-anak bawah 16 tahun – Pakar

MUTAKHIR ini, isu penyebaran kandungan seksual kanak-kanak (CSAM) di media digital menjadi kebimbangan serius di Malaysia.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bahan berbahaya ini diedarkan melalui akaun anonim, kumpulan tertutup, dan saluran pembayaran tanpa tunai, menjadikannya sukar dikesan dan dihapuskan segera.
Hasil operasi bersama pada September lalu mendapati lebih 880,000 fail berkaitan CSAM dirampas dan 31 individu ditahan di 37 lokasi seluruh negara. Penemuan ini menekankan kepentingan kawalan akses yang ketat, terutamanya bagi kanak-kanak di bawah umur 16 tahun.

CSAM hadir dalam pelbagai bentuk, termasuk imej yang diubah suai, rakaman yang dipaksa dan bahan yang dikongsi melalui saluran tertutup. Pengedaran melalui akaun anonim dan kumpulan tertutup meningkatkan skala dan kelajuan penyebaran bahan berbahaya.
Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Fauziah Mohd Sa’ad, menekankan kesan buruk pendedahan kanak-kanak atau remaja terhadap kandungan seksual berbahaya.
“Mereka mungkin mengalami gangguan pemikiran, mimpi buruk, rasa takut, jijik dan keliru. Ada juga yang berasa bersalah dan malu, menyorok serta enggan bercerita.
“Kanak-kanak yang terdedah juga boleh menunjukkan kebimbangan berlebihan, hiperwaspada, mudah terkejut atau marah, serta mengalami gangguan tumpuan dan penurunan prestasi di sekolah.
“Tingkah laku digital juga mungkin berubah, sama ada mengelak sepenuhnya atau terperangkap dalam siklus menonton berulang,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.
Selain itu, katanya sempadan diri kanak-kanak menjadi kabur. Ini kerana mereka sukar membezakan sentuhan dan permintaan yang wajar serta mudah terpengaruh oleh teknik ‘grooming’ seperti arahan rahsia. Justeru, pentingnya pendidikan awal dan pengawasan aktif oleh ibu bapa.
Tambahnya, golongan bawah 16 tahun lebih berisiko kerana perkembangan otak masih belum matang, literasi digital dan seksual belum kukuh, serta keperluan sosial yang tinggi membuatkan mereka mudah mencari penerimaan dan validasi. Algoritma platform boleh mendorong mereka menonton kandungan lebih ekstrem walaupun hanya seketika.
Bagi mengurangkan risiko ini, Fauziah menekankan gabungan tiga lapisan perlindungan iaitu had akses berstruktur, keibubapaan digital aktif, dan hubungan selamat untuk bercerita. Anak yang yakin dengan ibu bapa lebih cepat melaporkan pendedahan, membolehkan tindakan segera diambil.
Sementara itu, bagi Kaunselor Berdaftar, Mohd Hafiz Halim menyatakan selain kerajaan, masyarakat turut memainkan peranan dalam memastikan kandungan media digital tidak mengganggu perkembangan mental remaja.
“Sokongan, pendidikan dan kawalan kandungan adalah elemen penting untuk memastikan anak-anak selamat daripada pendedahan bahan berbahaya.
“Masyarakat juga perlu bertanggungjawab dalam kandungan yang disebarkan,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.
Sokongan psikososial segera amat penting bagi kanak-kanak yang terdedah kepada CSAM. Intervensi termasuk validasi emosi, penilaian risiko ringkas, pelan keselamatan digital, penghapusan kontak berbahaya, simpan bukti, tukar kata laluan, semak tetapan privasi dan kaunseling awal boleh membantu menstabilkan emosi serta membina semula rasa selamat.
Pendidikan awal yang praktikal juga disarankan melalui literasi sempadan dan ‘consent’, modul anti-grooming, kemahiran menolak dan melapor, serta latihan ibu bapa dan guru bagi respon yang tepat tanpa menyalahkan anak. Pendekatan ini bukan sekadar ceramah, tetapi membina kemahiran sebenar untuk menangani risiko digital.
Dalam pada itu, MCMC menegaskan bahawa tanggungjawab platform digital kini lebih besar, termasuk pengesanan, pengawalan dan penghapusan kandungan secara konsisten.
“Langkah ini lebih berkesan berbanding sekadar kuantiti fail yang diturunkan sahaja.
“Kerajaan Malaysia juga bercadang memperkenalkan had umur minimum 16 tahun bagi akses platform tertentu, disokong kawalan berlapis di rumah dan penguatkuasaan platform,” kata kenyataan tersebut.
Justeru, ibu bapa digalakkan memantau penggunaan internet oleh anak-anak dan melaporkan sebarang kandungan mencurigakan melalui saluran rasmi MCMC atau pihak berkuasa.



