Nasional

Media Sosial Berlesen Mulai Januari 2026, Peruntukan Deeming Lindungi Kanak-Kanak Dan Keluarga – MCMC

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan pelaksanaan Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.

Langkah itu menyaksikan semua penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial berskala besar dengan lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia disifatkan sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) secara automatik tanpa perlu melalui proses pendaftaran formal.

Dalam kenyataan media pada Isnin, MCMC berkata, pendekatan itu adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan dalam talian khususnya bagi melindungi kanak-kanak dan keluarga.

“Pendekatan ini juga selaras dengan kerangka pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025 bagi mengukuhkan akauntabiliti serta pematuhan terhadap undang-undang Malaysia.

“Inisiatif ini juga bagi memastikan semua platform terlibat untuk memikul tanggungjawab yang lebih jelas terhadap keselamatan pengguna khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga,” kata MCMC.

Antara platform yang tertakluk kepada pelaksanaan itu termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.

Penyedia perkhidmatan yang telah berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) akan kekal berdaftar sehingga tamat tempoh pendaftaran sedia ada, manakala platform baharu akan disifatkan berlesen secara automatik apabila memenuhi kriteria pengguna yang ditetapkan.

MCMC berkata, pelaksanaan itu tidak akan menjejaskan operasi platform global tersebut.

“Penyedia perkhidmatan yang terlibat akan terus beroperasi menerusi platform global mereka seperti biasa.

“Pendekatan ini sejajar dengan amalan antarabangsa dalam mengawal selia platform dalam talian berskala besar,” kata kenyataan itu.

Langkah itu dilihat sebagai usaha menutup jurang pengawalseliaan terhadap penyedia perkhidmatan luar negara, selain memastikan semua platform memikul tanggungjawab yang lebih jelas terhadap keselamatan pengguna.

Dengan pelaksanaan ini, MCMC berkata, keselamatan dalam talian dijangka diperkukuh melalui obligasi undang-undang yang lebih konsisten, memberi perlindungan lebih baik kepada pengguna terutamanya kanak-kanak dan keluarga.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terperinci mengenai pelaksanaan Peruntukan Deeming melalui laman sesawang rasmi MCMC di:
www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf2/FAQPelaksanaan-Peruntukan-Deeming15-Disember-2025.pdf

Related Articles

Back to top button