Nasional

‘Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat Penting Tutup Kelompongan Undang-Undang’ – AMK

Oleh: Aliyaa Azmi

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat menyambut baik cadangan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 yang dijadualkan dibentangkan di Parlimen tahun hadapan sebagai langkah memperkukuh sistem integriti negara.

Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan tepat pada masanya dan penting bagi memastikan undang-undang tidak lagi dimanipulasi oleh pihak berkepentingan.

“Pindaan akta ini amat penting bagi menutup kelompongan undang-undang yang selama ini membuka ruang kepada pelaku rasuah dan salah guna kuasa untuk berlindung di sebalik status pemberi maklumat.

“Perlindungan pemberi maklumat tidak seharusnya dijadikan perisai untuk melindungi penjenayah.

“Ia perlu sebaliknya kekal sebagai mekanisme melindungi individu yang benar-benar berani tampil mendedahkan salah laku demi kepentingan awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Danish, AMK turut menyokong jaminan Perdana Menteri bahawa aspek keselamatan, kerahsiaan dan perlindungan kepada pemberi maklumat tulen serta keluarga mereka akan terus diperkasakan.

“AMK berdiri teguh menyokong kepimpinan Perdana Menteri dalam usaha membanteras rasuah tanpa memilih bulu dan memastikan negara ini dibina atas asas integriti, ketelusan dan keadilan,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2026 bagi menutup sebarang kelompongan undang-undang yang boleh disalahgunakan oleh penjenayah atau perasuah untuk mengelak daripada dikenakan tindakan.

Beliau berkata, pindaan itu penting bagi memperjelas perbezaan antara pemberi maklumat tulen yang bertindak demi kepentingan awam dengan penjenayah tegar yang cuba berselindung di sebalik perlindungan undang-undang selepas melakukan kesalahan serius.

Related Articles

Back to top button