
Oleh: Aliyaa Azmi
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kabinet MADANI yang baru dilantik memikul amanah besar rakyat dan perlu menuntut tindakan segera serta keputusan berani.
Menurutnya, setiap dasar yang dirangka harus mampu dirasai oleh rakyat, bukan sekadar retorik.
“Setiap anggota Kabinet mesti terus bekerja dengan disiplin dan berkhidmat dengan penuh kerendahan hati, memastikan pelaksanaan dasar bergerak pantas, berintegriti serta sampai kepada rakyat tanpa lengah dan sebarang alasan,” katanya pada Rabu.
Anwar berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet MADANI susulan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan.
Katanya, keberkesanan kerajaan bergantung kepada kesungguhan semua anggota Kabinet dalam mengutamakan kepentingan rakyat, melaksanakan dasar secara bersepadu dan memastikan setiap keputusan memberi impak nyata kepada masyarakat.
“Saya menyeru anggota Kabinet agar sentiasa mendengar suara rakyat dan bertindak proaktif dalam menghadapi cabaran semasa, sambil memastikan setiap langkah dasar dapat memberi manfaat maksimum kepada masyarakat di seluruh negara” ujarnya.



