OCC Puji Inisiatif MCMC, Seru Platform Digital Lebih Bertanggungjawab

PETALING JAYA: Keselamatan kanak-kanak dalam talian kini muncul sebagai keutamaan dasar yang tidak boleh lagi ditangguhkan.
Dengan penggunaan internet yang semakin meluas dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, ruang digital bukan sahaja menjadi medium pembelajaran dan komunikasi tetapi juga medan risiko yang semakin kompleks.
Justeru, langkah pengawalseliaan yang jelas dan boleh dikuatkuasakan menjadi tuntutan mendesak demi melindungi kumpulan paling rentan dalam masyarakat.
Dalam konteks itu, Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyambut baik inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang meletakkan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial berskala besar sebagai berlesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berkuat kuasa 1 Januari 2026.
OCC menyifatkan langkah tersebut sebagai perkembangan penting ke arah memperkukuh akauntabiliti platform digital yang beroperasi di Malaysia khususnya dalam aspek perlindungan kanak-kanak dalam talian.
Pendekatan itu juga merupakan komponen utama dalam penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang memberi tumpuan kepada keselamatan pengguna terutama kanak-kanak dan keluarga.
Menurut OCC, platform digital berskala besar tidak lagi boleh beroperasi tanpa tanggungjawab yang jelas, memandangkan perkhidmatan mereka memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan kanak-kanak.
“Perlindungan kanak-kanak dalam talian bukan pilihan tetapi kewajipan undang-undang dan moral,” kata OCC dalam satu kenyataan.
Perlindungan tersebut, kata OCC, merangkumi usaha mencegah eksploitasi seksual dalam talian, penderaan, pendedahan kepada kandungan berbahaya serta risiko psikologi dan emosi yang boleh memberi kesan jangka panjang kepada perkembangan kanak-kanak.
Dalam landskap digital masa kini, ancaman ini sering bersifat halus, berulang dan sukar dikesan tanpa mekanisme kawalan yang kukuh.
OCC turut menekankan bahawa platform digital perlu direka dan dikendalikan dengan tetapan selamat untuk kanak-kanak secara automatik.
Ini termasuk perlindungan bersesuaian mengikut umur, sistem pelaporan yang mudah diakses, perantaraan kandungan yang berkesan serta tindakan remedi yang jelas dan pantas apabila berlaku pelanggaran.
“Platform yang memperoleh manfaat daripada jumlah pengguna yang besar di Malaysia perlu memikul tanggungjawab setara di bawah rangka kawal selia negara,” menurut OCC, sambil menyokong usaha MCMC mewujudkan peraturan yang jelas, konsisten dan boleh dikuatkuasakan tanpa menyasarkan pengguna biasa.
Menepis kebimbangan sesetengah pihak, OCC menegaskan bahawa inisiatif itu bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara atau mengawal kandungan secara umum.
Sebaliknya, fokus utama adalah perlindungan pengguna khususnya kanak-kanak dan keluarga selari dengan amalan antarabangsa dan prinsip hak asasi manusia.
Untuk rekod, langkah MCMC itu selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang menuntut perlindungan kanak-kanak daripada penderaan, kemudaratan dan eksploitasi.
Di peringkat tempatan, Akta Kanak-Kanak 2001 turut mewajibkan semua pihak termasuk penyedia perkhidmatan digital, menjaga keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak dalam persekitaran digital.



