Oleh: Aliyaa Azmi
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kepentingan memelihara hubungan baik dengan semua pihak sewaktu menerima kunjungan Timbalan-Timbalan Menteri yang baharu.
Anwar berkata, usaha ini bukan sahaja perlu dijalankan di peringkat kementerian dan agensi, malah merangkumi seluruh lapisan masyarakat.
“Amanah dan tanggungjawab yang dipikul ini perlu digalas sebaik-baiknya agar setiap dasar dan polisi Kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberi manfaat nyata kepada rakyat.
“Maklumat yang disampaikan harus jelas, tepat, dan sampai ke semua lapisan masyarakat, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang berteraskan keterangkuman dan kebertanggungjawaban,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis,
Anwar menegaskan bahawa pendekatan ini penting untuk memastikan setiap keputusan dan inisiatif kerajaan dapat difahami oleh rakyat, sekaligus membina kepercayaan dan keberkesanan dalam pelaksanaan dasar kerajaan.



