Nasional

Mujahid Tegaskan Politik Wajar Dinilai Berteraskan Siyasah Syar‘iyyah

PETALING JAYA: Penilaian terhadap rombakan Kabinet tidak wajar dibuat menggunakan analogi halal, haram atau syubhah seperti yang diketengahkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, kata Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Menurut beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), tulisan Abdul Hadi bertajuk “Kabinet Bercampur Selera” mencerminkan kekeliruan asas dalam memahami konsep siyasah syar‘iyyah, apabila politik kenegaraan disamakan dengan hukum fiqh pemakanan.

“Politik negara bukan urusan dapur. Siyasah syar‘iyyah ialah disiplin mengurus kuasa, kepimpinan, keadilan dan maslahah awam khususnya dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Mujahid berkata, penyamaan urusan politik dengan hukum halal dan haram makanan merupakan kiasan yang tidak terpakai kerana politik bergerak dalam ruang ijtihad, maslahah dan realiti semasa, bukan hukum qat‘i individu.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa hanya satu pendekatan politik dianggap sebagai ‘jalan lurus’, sambil menegaskan bahawa al-Quran menekankan nilai keadilan dan amanah, bukannya menetapkan satu model atau gabungan politik tertentu.

Mujahid berkata, Surah al-Mumtahanah sendiri membenarkan umat Islam berlaku adil dan bekerjasama dengan pihak yang tidak memerangi agama, selagi Islam sebagai agama Persekutuan terus terpelihara dan kebebasan beragama dijamin.

Katanya, penilaian terhadap Kabinet seharusnya berpaksikan persoalan maslahah rakyat termasuk kestabilan politik, usaha memerangi rasuah, kebajikan rakyat serta keharmonian kaum, bukannya sentimen sempit kepartian.

Mujahid yang juga Ahli Dewan Negara menegaskan bahawa siyasah syar‘iyyah bukan alat untuk menghalalkan pembangkang atau mengharamkan kerajaan.

Sebaliknya, ia adalah prinsip untuk memelihara agama tanpa meruntuhkan negara, selaras dengan pendekatan politik rahmah yang berteraskan hikmah dan amanah.

Related Articles

Back to top button