FIFA Terajui Dana AS$75 Juta Bangunkan Semula Infrastruktur Bola Sepak Gaza

WASHINGTON: FIFA akan mengetuai usaha mengumpul dana sebanyak AS$75 juta bagi membangunkan semula infrastruktur bola sepak di Gaza yang rosak akibat serangan Israel.
Perkara itu diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada mesyuarat sulung “Board of Peace” yang berlangsung di Washington pada Khamis.
“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa FIFA akan membantu menggerakkan dana berjumlah AS$75 juta untuk projek pembangunan di Gaza,” katanya.

Presiden FIFA, Gianni Infantino, menjelaskan bahawa pelan tersebut merangkumi pembinaan sebuah akademi bola sepak, stadium nasional berkapasiti 20,000 penonton serta beberapa padang bola sepak.
Menurut beliau, inisiatif itu merupakan satu “perkongsian strategik penting” dalam menyokong usaha pemulihan kawasan yang terjejas akibat konflik.
Bagaimanapun, dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada hari sama, FIFA tidak menyatakan jumlah AS$75 juta seperti diumumkan Trump. Sebaliknya, badan induk bola sepak dunia itu memaklumkan dana berkenaan akan dikumpulkan melalui kerjasama pemimpin dan institusi antarabangsa.
“Board of Peace” diadakan susulan rundingan gencatan senjata yang dipelopori pentadbiran Trump bersama Qatar dan Mesir pada Oktober lalu bagi menamatkan peperangan selama dua tahun di Gaza.



