Nasional

Pertambahan penduduk antara punca lambakan kenderaan di PPR, strata di KL

Lambakan kenderaan persendirian dan kekurangan tempat letak kenderaan di Projek Perumahan Rakyat (PPR), strata kos rendah dan sederhana di ibu negara terus mendatangkan resah dalam kalangan penduduk dan orang awam.

Pelbagai jenis kenderaan termasuk bas, van dan kereta yang diletakkan sembarangan seperti parkir berganda atau ‘double park’ di tepi jalan dan hentian bas sehingga menghalang pergerakan kenderaan lain yang melalui kawasan itu, adalah pemandangan biasa di kawasan kediaman berkenaan.

Tinjauan Bernama di beberapa kediaman strata dan PPR di Sentul, Setapak, Bandar Sri Permaisuri mendapati sebahagian penghuni terpaksa memarkir di jalan utama iaitu di luar kawasan kediaman menyebabkan laluan dua lorong menjadi sempit, satu lorong sahaja serta ada juga kenderaan lama dan rosak ditinggalkan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan.

Peniaga di Pusat Penjaja Bandar Sri Permaisuri, Zolkhoari Abdul Aziz berkata, ada segelintir penghuni PPR dan strata berdekatan pusat penjaja itu mengambil kesempatan apabila memarkir kenderaan mereka di parkir yang telah dikhususkan untuk pelanggan gerai pusat penjaja itu.

Beliau berkata, lantaran parkir percuma itu juga dan tiada penguatkuasaan diambil daripada pihak berwajib, maka pemilik kenderaan seolah-olah besar kepala menjadikan kawasan parkir pelanggan milik mereka sehingga ada yang meletakkan kenderaan berminggu-minggu lamanya tanpa ada pergerakan keluar masuk.

“Parkir pelanggan pusat penjaja ini sebanyak 64 lot, tapi boleh dikatakan keseluruhan ‘dibolot’ oleh segelintir penghuni yang memarkir kenderaan mereka di sini walaupun sudah ada papan tanda arahan daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur hanya dibenarkan untuk pelanggan gerai.

“Situasi ini menimbulkan ketidakselesaan kepada pelanggan yang mahu menikmati makanan di sini dan ada antara mereka berlalu sahaja kerana lama mencari parkir dan perkara ini sedikit sebanyak telah menjejaskan kehadiran pelanggan dan jualan para peniaga,” katanya.

Sementara itu, penghuni PPR Kampung Baru Air Panas dikenali sebagai Ezana, 34, berkata dia dan adiknya yang tinggal bersama ibu bapa masing-masing memiliki kereta sendiri kerana berpandangan ia lebih menjimatkan dan mudah untuk ke mana-mana.

Mengakui ada ketikanya terpaksa memarkir jauh sedikit dari rumah, risiko kereta dikhianati dan mengambil masa lama untuk mencari parkir, namun peniaga dalam talian itu berkata ia sudah menjadi kelaziman dan dianggap perkara biasa dilaluinya sejak enam tahun lepas.

“Memiliki kereta adalah keperluan yang memudahkan urusan saya kerana skop kerja sekarang memerlukan untuk bergerak ke sana-sini dan berjumpa pelanggan. Meskipun ada pengangkutan awam seperti bas dan kenderaan e-hailing, tapi ia terbatas, ditambah servisnya pula kadang-kadang tidak mengikut jadual,” katanya.

Mengulas isu itu, Pensyarah Kanan Pengajian Harta Tanah, Kolej Pengajian Alam Bina Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Mona Isa berkata berdasarkan permerhatiannya, penghuni kediaman PPR atau strata kini ada menjangkau lebih daripada dua generasi sekali gus menyumbang kepada pertambahan pemilikan kenderaan.

Beliau berkata, realitinya penghuni kediaman itu mempunyai anak yang telah dewasa dan masing-masing memerlukan kenderaan apatah lagi ada sudah berkahwin dan mempunyai kenderaan tapi memilih untuk tinggal bersama keluarga kerana masih tidak mampu membeli rumah sendiri.

“Seperti sedia maklum, setiap kediaman PPR atau strata lazimnya diperuntukkan satu atau dua ruang letak kenderaan, namun senario sekarang telah berubah apabila sesebuah rumah akan ada lebih daripada dua kereta jika mempunyai beberapa generasi di dalamnya, lagi-lagi jika rumah itu disewakan.

“Jadi, saya melihat mereka mampu memiliki kenderaan bukan faktor kemewahan, tapi keperluan mendesak. Kalau tidak mampu membeli kereta baharu sekalipun mereka masih lagi boleh beli kereta terpakai yang dalam keadaan baik untuk kegunaan harian,” katanya.

Sehubungan itu, Mona mencadangkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya menambah bilangan ruang parkir melalui bangunan parkir bertingkat di ruang PPR atau strata yang masih ada selain berusaha meningkatkan kecekapan pengoperasian pengangkutan awam seperti bas bagi mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian. – Bernama

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button