Malaysia ada potensi jadi pengeluar kenderaan EV darat dan laut
Kementerian Pengangkutan (MOT) berharap sektor pembuatan kenderaan elektrik (EV) di negara dapat dirancakkan dan diperluas.
Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata potensi dari industri itu perlu direbut bukan sekadar dalam sektor pembuatan kenderaan darat, namun termasuk juga kenderaan laut seperti feri dan bot EV.
Menariknya jelas beliau, Malaysia sudah mempunyai kepakaran membina kenderaan pengangkutan atas air itu yang sekaligus mampu menarik minat pelabur daripada syarikat berkaitan.
“Pemasangan kenderaan EV ini adalah potensi yang cukup besar untuk Malaysia perluaskan lagi EV bukan hanya untuk kenderaan darat, tapi juga menggunakan konsep bot elektrik.
“Sekarang kita dah ada kepakaran dan kemahiran kejuruteraan untuk membina bot EV oleh anak-anak tempatan dan ini satu inovasi cukup baik bagi merendahkan penggunaan karbon,” katanya.
Beliau berkata begitu pada sidang media selepas menyaksikan prototaip bot EV, HydroGlyder oleh syarikat Yinson GreenTech di Composites Technology City, Batu Berendam Melaka pada Isnin.
BACA LAGI: Rebat motor elektrik mampu jayakan sasaran karbon sifar
Difahamkan prototaip Hydroglyder dihasilkan adalah untuk memenuhi pasaran Singapura, sebagai bot transit membawa kru kapal kargo ke pelabuhan.
Bagaimanapun Anthony Loke berharap teknologi itu akdan dapat digunakan di negara ini pada masa akan datang.
seperti bagi perkhidmatan feri penumpang di antara pulau-pulau antaranya Langkawi, Tioman, Pulau besar dan Pangkor.
“Jadi semua operator feri ini mereka ada pilihan untuk gunakan bot EV ini yang juga merupakan satu trend hala tuju yang mesti kita lalui,” katanya.