Parlimen

KSM teliti tambah baik akta perlindungan sosial untuk individu bekerja sendiri

Kerajaan berusaha memastikan kebajikan golongan pekerja di negara ini terus diperkasa termasuk untuk kumpulan Orang Bekerja Sendiri (OBS).

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mustapha Sakmud pada sesi jawapan lisan di Dewan Rakyat pada Khamis berkata, bagi tujuan itu, kerajaan sedang meneliti untuk menambah baik Akta Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

Penelitian itu terutama berkaitan peluasan perlindungan sosial bagi keadaan luar jangka dalam memastikan golongan berkenaan mendapat perlindungan sosial yang lebih komprehensif.

“Kementerian melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedang mengkaji perkara itu sebagaimana terkandung di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 serta perlindungan sosial lain,” jelasnya.

Terdahulu Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) membangkitkan soalan berhubung pencapaian program SKSPS dan SKSSR serta pendekatan terkini yang diambil dalam meningkatkan pencarum bagi kedua-dua skim berkenaan.

Menjawab soalan itu, Mustapha memaklumkan setakat 10 Nov lalu, seramai 793,116 OBS aktif mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan bagi tempoh sama 4,334 kes tuntutan telah diluluskan yang melibatkan jumlah faedah RM24.69 juta.

“Bagi bilangan penyertaan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) pula, seramai 197,893 dengan jumlah tuntutan RM849,081.37 dicatatkan, melibatkan 322 kes setakat 5 Nov lepas,” jelasnya.

Pada masa yang sama,beliau turut memaklumkan kementerian turut mempergiatkan usaha untuk meningkatkan tahap kesedaran golongan bekerja sendiri terutama pemain industri gig tentang kepentingan perlindungan sosial demi kesejahteraan kehidupan mereka dan keluarga.

Ia termasuk menambah baik program perlindungan sosial dengan pembiayaian SKSPS di bawah Program SPS Padanan Caruman Pelan Kedua ditingkatkan daripada 80 peratus iaitu RM186.20 kepada 90 peratus, seperti yang telah ditelah dibentangkan dalam Belanjawan 2024.

Melalui program itu, orang bekerja sendiri hanya perlu membayar RM23.30 berbanding RM46.60 sebelum ini.

Related Articles

Back to top button