PSKL2040: kepentingan pembangunan diambil kira, tak semua bantahan ditolak – Azman Abidin
Setiausaha politik kepada Perdana Menteri menolak dakwaan sebuah NGO yang mendakwa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) gagal melibatkan masyarakat secara berkesan ketika merangka Pelan Struktur Kuala Lumpur (PSKL2040).
Menurut Datuk Azman Abidin, semua proses bantahan dan pendengaran mengenai pelan yang menggariskan pembangunan bandaraya itu bagi 20 tahun mendatang dilakukan dua kali, sebelum dan selepas kerajaan perpaduan berkuasa.
Beliau yang diberi tanggungjawab menguruskan perkara itu malah memberitahu, bukan semua bantahan NGO ditolak dalam merangka pelan tersebut selepas mengambil kira kepentingan industri, pembangunan KL, kawasan rekreasi dan bandar.
“Kali pertama sebelum kerajaan perpaduan (berkuasa), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) laksanakan (proses pendengaran dan bantahan) sewaktu kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Sepatutnya telah digazetkan 2022 lalu, namun perubahan kerajaan, DBKL tak dapat laksanakan kerana perlu kelulusan menteri jaga Kuala Lumpur.
“Ada bantahan diambil dan ada yang ditolak. Proses telah dilaksanakan dan bantahan kita dengar. (DBKL) ikut peraturan sedia ada. Bagi saya, (kita) tak dapat puas hati semua orang, kalau tidak, struktur KL tak ada pelan langsung.” katanya dipetik laporan FMT.
BACA LAGI: PM Anwar luluskan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040
Pengerusi Selamatkan Kuala Lumpur (SKL), M Ali sebelum ini mendakwa, DBKL gagal memberi maklum balas terhadap sesi libat urus terdahulu, di mana kumpulan itu menekankan kelemahan draf berkenaan, termasuk kegagalan menangani kekurangan kawasan lapang di ibu kota.
NGO itu pada Mac lalu menggesa supaya PSKL2040 tidak diluluskan sehingga semua usaha wajar diselesaikan DBKL.
Azman sementara itu berkata, Kerajaan Perpaduan bertindak memanggil semula proses pendengaran kerana dakwanya ada NGO, termasuk SKL mendakwa terdapat banyak ketidakadilan dalam pendengaran pertama ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).