Semasa

Sultan Nazrin titah tolak pemimpin cetus kebencian, pemecah belah kaum

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah agar rakyat menolak pemimpin yang mencetus kebencian antara masyarakat di negara ini.

Baginda dalam titah sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Ke-63 di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya pada Sabtu menegaskan, negara berada dalam bahaya jika pemimpin dibiar bebas mencetuskan kebencian dalam kalangan orang ramai dan memusuhi satu sama lain.

Tindakan pemimpin itu tambah baginda adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan tidak memberi sebarang manfaat kepada negara.

“Amatlah berbahaya kepada negara membiarkan sesiapa sahaja apatah lagi dalam kalangan yang diangkat sebagai pemimpin berperangai saling mencela dan saling menghina yang berpotensi mencetuskan kebencian dan bakal menyalakan api permusuhan.

“Negara tidak boleh dibiarkan menjadi mangsa kepada tindak tanduk dan perbuatan tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh pemimpin samaran,” titah baginda Sultan.

Titahnya, pemikiran serta cara-gaya dan teladan yang ditayangkan oleh pemimpin-pemimpin tersebut dan pengikutnya, bagai adukan kebenaran dan kepalsuan serta campuran hak dan batil yang merupakan ramuan kekeliruan.

“Ia didakyahkan ketika kaum Muslimin sudah tenat keliru, putus asas kewarasan akal, serta semangatnya dalam keadaan kacau, tiada berdaya meresapi lagi kekeliruan tambahan, lalu membawa kesan buruk pada kefahaman awam yang terpengaruh, akibatnya pemimpin yang palsu itu disamatarafkan dengan pemimpin yang benar.

“Lalu berlaku kebingungan yang teruk kerana ketiadaan adab, tidak hanya bererti rosaknya ilmu (corruption of knowledge) tetapi ketidakmampuan mengakui pemimpin yang benar, di sebaliknya memberi jalan dan mendukung munculnya pemimpin palsu,” titah Baginda lagi.

Baginda Sultan Nazrin sementara itu mengingatkan kepada nilai kesopanan dan kesusilaan yang merupakan asas kepada pembinaan masyarakat yang harmoni dan negara yang sejahtera.

“Sedarilah perilaku warga apatah lagi dalam kalangan pemimpin akan memberikan imej, wajah dan identiti negara kita di mata dunia. Kesopanan dan kesusilaan yang diamalkan oleh warga merupakan suatu ukuran kemajuan dan ketamadunan negara,” jelas Baginda.

Baginda turut menitahkan Rukun Negara yang diperkenalkan pada 31 Ogos 1971 perlu menjadi rujukan semua pihak setelah asas perpaduan kaum dilihat rapuh dan goyah ketika berlakunya pergaduhan dan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 susulan berlakunya perang mulut dan laungan-laungan menyentuh sentimen kaum dan agama yang telah mencetuskan ketegangan kaum.

“Jadikan pengajaran daripada peristiwa pahit pada 1969 untuk segera dilakukan langkah-langkah preventif, menghentikan suara-suara provokatif yang memilih meniupkan bara pertelingkahan berasaskan kaum dan agama,” titah Baginda yang juga Canselor Universiti Malaya itu.

Related Articles

Back to top button