Ugutan bunuh bukti budaya takfiri, ekstremisme menular di kalangan melayu konservatif -AMK
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) meggesa kerajaan bertindak lebih tegas dalam mengekang ekstremisme atau perlakuan melampau dalam masyarakat khususnya penyokong parti politik.
Timbalan Ketua Pemuda AMK Muhammad Kamil Abdul Munim membuat gesaan itu susulan tindak tanduk penyokong politik parti tertentu yang berulang kali melemparkan ugutan dan cacian terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau turut menyatakan rasa hairan apabila tindakan seperti itu seolah-olah ‘direstui’ pemimpin mereka memandangkan tiada teguran dibuat supaya budaya melampau itu dihentikan.
“Mereka yang melakukan ugutan dan cacian ini tidak gentar dan dibuat berulang kali seolah-olah perbuatan mereka ini diredhai oleh pimpinan.
“Bahkan lidah rasmi mereka memainkan propaganda mengaitkan Anwar sebagai pro Israel.
“Setakat ini saya tidak dengar lagi penegasan atau respon keras menegur tindakan tidak bermoral ini daripada pimpinan pembangkang,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.
Kamil Munim menurut laporan itu walaupun tidak menyebut nama, namun dipercayai merujuk kontroversi sebuah artikel yang terbit lidah rasmi parti Pas- Harakah pada 6 Nov lalu.
Artikel bertajuk ‘Malaysia Di Bawah Anwar Ragu-Ragu Sokong Palestin?’ itu memetik Ketua Dewan Ulamak PAS Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena), yang mendakwa kerajaan telah mengubah nadanya berhubung pejuang kemerdekaan Palestin untuk mengikuti naratif yang ditetapkan oleh Israel dan Barat.
Difahamkan siaran itu cuba mengambarkan imej negatif kepada Anwar apabila perdana menteri itu dipaparkan dengan bendera Israel, manakala foto Ahmad dipaparkan bersama bendera Palestin disisinya.
Gambar itu kemudian telah ditukar tanpa memaparkan wajah Anwar dan Ahmad.
Sementara itu Kamil Munim berkata budaya fanatik dan politik kebencian ini sememangnya telah digunakan dan disebarkan di kalangan masyarakat sejak dahulu lagi.
“Antara yang selalu diungkap adalah Anwar merupakan agen yahudi, CIA, Amerika, Freemason dan pelbagai lagi gelaran yang tidak berasas, dan yang terakhir digelar sebagai dajal.
“Istilah ini digunakan untuk mencipta kebencian dan permusuhan, kerana untuk menyerang perdana menteri dari sudut politik dasarnya adalah sukar,” katanya menurut laporan itu lagi.
Beliau turut mengulas ugutan bunuh terhadap perdana menteri baru-baru ini yang menurutnya merupakan tanda paling besar bahawa budaya mengkafirkan sesama Islam (takfiri) dan ekstremisme telah menular di kalangan masyarakat melayu konservatif.
BACA LAGI: Polis tangkap individu tawar RM5 juta tembak mati PM
“Kita mendukung usaha untuk menjamin kebebasan untuk semua, namun jika kebebasan ini tidak dikawal dan diselia, maka ia akan memberi ancaman terhadap keharmonian negara.
“Kerajaan tidak perlu jadi popular sepanjang masa, tetapi harus juga mengambil langkah bertanggungjawab untuk mengekang sebarang aktiviti dan tindakan yang memberi kesan serius terhadap kestabilan dan keamanan negara,” katanya lagi.