Iklan jelik: penyedia aplikasi bakal dipanggil beri penjelasan – Menteri
Beberapa penyedia aplikasi media sosial bakal dipanggil bagi memberi penjelasan mengenai isu kandungan iklan jelik, Dewan Negara diberitahu.
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil berkata pertemuan itu bertujuan memberi penegasan terhadap pendirian kerajaan mengenai iklan jelik seperti berbaur seksual yang tidak sepatutnya dimainkan di negara ini.
“Kebiasaannya iklan disajikan kepada kita adalah berdasarkan apa yang algoritma itu anggap kita suka tonton dan tengok. Contohnya, kalau kita suka tengok kereta, maka keretalah yang disajikan. Jadi saya ambil maklum isu ini.
“Memang pelbagai platform media sosial ada algoritma sendiri, sebab itu isu algoritma ini adalah isu yang agak bermasalah dan ia boleh mengakibatkan satu bentuk sindrom terowong atau ruang gema,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Hussin Ismail yang mahu tahu mengenai usaha kerajaan dalam menyekat kandungan iklan melampau di media terutamanya media sosial.
Sementara itu, Fahmi turut memberitahu Dewan Negara bahawa sepanjang tempoh 1 Okt sehingga 15 Nov, sebanyak 147 kandungan berunsur kebencian berkaitan konflik Palestin-Israel telah diturunkan dari media sosial.
Beliau berkata, langkah dilaksana dengan kerjasama penyedia platform itu akan diteruskan bagi memelihara keamanan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.
BACA LAGI: Tingkat sistem telekomunikasi negara, KKD teliti teknologi berasaskan setelit
Sementara itu jelasnya, usaha penerapan nilai keamanan di seluruh negara juga giat dilaksanakan menerusi media massa berpandukan Kod Kandungan yang memberikan panduan jelas berhubung standard kandungan selaras dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Bagi tujuan itu jelasnya, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dan Bernama sebagai ejen penyampai maklumat rasmi juga sentiasa menyalurkan berita yang seimbang dan berobjektif.
Usaha itu katanya akan membantu menghindari penyebaran pandangan ekstrem serta menimbulkan kebencian dan panik dalam kalangan masyarakat, selari dengan hala tuju dan dasar semasa kerajaan tanpa menjejaskan hubungan diplomatik dengan mana-mana negara.