Negeri

Pulau Pinang sedia program, galak golongan muda ceburi sektor pertanian moden

Kerajaan Negeri Pulau Pinang menggalakkan golongan muda di negeri itu untuk menceburi sektor pertanian moden.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata galakan itu seiring usaha kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import seterusnya memastikan sekuriti makanan khususnya di negeri ini terjamin.

Tambahnya, aplikasi teknologi, inovasi dan modenisasi dalam bidang berkenaan bukan saja berupaya meningkatkan hasil pengeluaran malahan turut mampu menjana pendapatan lumayan.

“Sebelum ini mungkin ramai (anak muda) tidak nampak potensi sektor dalam bidang pertanian, penternakan, perladangan mahu pun nelayan tetapi kini sudah masuk era agroteknologi yang mana kita dapat lihat perbezaan ketara dari segi peningkatan hasil di samping menjana pendapatan lebih baik berbanding cara tradisional.

“Tambahan Pulau Pinang merupakan pelabuhan dan hab teknologi justeru saya berharap mereka dapat mengambil peluang dengan menjadikan sektor ini sebagai satu kerjaya dan seterusnya membantu memastikan bekalan makanan di negeri ini mencukupi dan terjamin,” katanya pada perasmian Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Pulau Pinang (HPPNPP) 2023 dan Eskpo Agorobuddies di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pau pada Sabtu.

BACA LAGI: KPKM beri insentif dan latihan tarik golongan belia ceburi bidang pertanian

Untuk rekod, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebelum ini turut menggalakkan lebih ramai golongan belia melibatkan diri dalam bidang pertanian.

Timbalan Menterinya, Datuk Chan Foong Hin berkata, bagi tujuan itu KPKM akan memberi inisiatif sebagai galakan kepada golongan belia melalui bantuan seperti Agroprenuer Muda.

Pihaknya turut mengadaptasi teknologi ke dalam bidang pertanian sebagai salah satu cara bagi menarik minat belia menceburi bidang berkenaan.

Sementara itu Chow memaklumkan, kerajaan Pulau Pinang telah menyediakan dua program iaitu Program Petani Pelapis dan Program Tabung Usahawan Tani dalam memperkasakan peranan dalam sektor pertanian di negeri ini.

Selain itu, sebanyak RM4.6 juta juga diperuntukkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menerusi Belanjawan Negeri 2024 untuk melaksanakan aktiviti dan program yang menyokong kepada pengukuhan pengeluaran ternakan di negeri ini demi membangunkan sektor agromakanan yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.

Related Articles

Back to top button