Kerajaan Perpaduan akan laksana semua daya usaha ringan beban rakyat – PM Anwar
Usaha meringankan beban rakyat khususnya golongan belia dan mahasiswa di negara ini tertakluk kepada keupayaan dana kerajaan.
Walau bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan pimpinannya akan berusaha sedaya-upaya melaksana apa juga langkah yang boleh dilakukan bagi tujuan itu.
Tambahnya, kerajaan akan berbincang sebelum memutuskan sama ada inisiatif program eBelia Rahmah yang diagihkan kepada golongan belia berusia 18 sehingga 20 tahun akan diteruskan atau tidak.
“Kita tangguh (keputusan sama ada untuk teruskan atau tidak) sehingga awal tahun depan untuk kita kaji semula, berapa pendapatan daripada kastam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia), kita ada Ketua Pengarah Kastam yang baharu, lebih dinamik, lebih garang.
“Hasil pun kian bertambah, kemudian saya dapat tahu LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia) pun hasilnya bertambah. Kalau hasil bertambah, Insya-Allah kita akan belanja dengan baik,” katanya.
BACA LAGI: Setahun pentadbiran Anwar, usaha benteras rasuah mula tunjuk hasil
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata begitu pada dialog sempena penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil pada Ahad.
Sementara itu,beliau turut berkata kerajaan akan meningkatkan kemudahan asas di universiti-universiti awam di negara ini secara berperingkat menggunakan beberapa kaedah kerana peruntukan tahun ini lebih menjurus kepada golongan yang lebih memerlukan.
Menjawab rungutan pelajar mengenai Menu Siswa Rahmah dengan hidangan RM3.50 tidak dilaksanakan di beberapa universiti, Perdana Menteri mengarahkan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menyemak semula dengan semua universiti berhubung perkara itu.