Nasional

Mahasiswa sambut baik insentif bantuan tiket penerbangan

PENGUMUMAN kerajaan untuk memperkenal bantuan tiket penerbangan kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mendapat reaksi positif dari golongan mahasiswa. 

Insentif ini dijangka diperkenalkan mulai Ogos

Dipetik laporan Bernama, beberapa pemimpin mahasiswa melihat insentif itu bakal menjadi inisiatif serampang dua mata yang bukan sahaja membantu dari segi kewangan pelajar malah fokus mereka dalam pelajaran.

Yang Dipertua Pertubuhan Siswa Siswi Sabah Universiti Sains Malaysia Muhammad Zikri Rosle berkata pembelian tiket penerbangan terutama pada musim perayaan merupakan perbelanjaan yang besar dan boleh menjadi beban emosi kepada pelajar.

“Ada pelajar yang terpaksa bekerja sambilan untuk membeli tiket, ada juga yang tidak mampu untuk pulang ke kampung sebab tiket terlalu mahal…disebabkan hal ini sahaja ia menimbulkan tekanan sehingga hilang fokus dan ‘mood’ dalam pelajaran,” katanya.

Fathurrahman Mohammed Rajli, 24, pelajar dari Sarawak yang sedang menjalani pengajian di Universiti Malaya pula berkata, walaupun terdapat usaha daripada kerajaan negeri seperti bantuan tiket penerbangan dan akaun MHexplorer oleh Malaysia Airlines, cadangan kerajaan Persekutuan merangka inisiatif itu tepat sekali gus membantu meringankan beban ibu bapa pelajar. 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke ketika mengumumkan insentif itu pada Jumaat berkata kementeriannya akan memperkenalkan usaha terbaharu itu pada Ogos ini.

Inisiatif dalam bentuk pemberian kredit itu, masih dalam proses integrasi dengan syarikat penerbangan.

Presiden Kelab Patriot Chapter Sarawak Universiti Utara Malaysia Nur Alishar Mohamad Ali pula berharap sekiranya inisiatif itu dapat diberikan secara berkala pada setiap semester bukan hanya secara tahunan kepada pelajar yang layak.

“Selain diberikan dalam bentuk e-kredit, bantuan kepada pelajar juga diharapkan dapat diberikan dari segi pemberian diskaun khas kepada pelajar Sarawak dan Sabah terutamanya untuk tambang pergi dan balik pada cuti semester dan semasa cuti perayaan.

“Dengan adanya diskaun khas untuk pelajar Sarawak dan Sabah ini, dapat meringankan beban kami sebagai pelajar untuk pulang semasa cuti perayaan atau kecemasan yang memerlukan kami untuk segera pulang ke kampung halaman masing-masing,” katanya.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button