hiburan

Ibnor Riza meninggal dunia selepas 2 minggu bertarung nyawa

Penyanyi popular era 80-an, Ibnor Riza dilapor meninggal dunia selepas dua minggu bertarung nyawa.

Dikenali ramai dengan lagu ‘Mimpi Yang Tak Sudah’ Ibnor Riza atau nama sebenarnya Ibnor Riza Ibrahim,62, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Canselor Tuanku Mukriz (HCTM), Kuala Lumpur pada jam 3.30 petang tadi.

Berita duka itu dikongsi rakan penyanyi iaitu Salwa Abd Rahman menerusi Instagram miliknya sebentar tadi.

“Sahabatku sudah tiada. Semoga arwah tenang dan damai di sana serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” tulisnya ringkas.

Isteri Ibnor, Sarimah Sualiman, 51,turut mengesahkan perkara itu dan memberitahu jenazah Allahyarham sedang diuruskan untuk proses pengebumian yang dijangka diadakan di Negeri Sembilan.

Pada 19 Februari lalu, Ibnor yang turut popular dengan lagu Meneka Dalam Kesamaran dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Port Dickson selepas pengsan di rumah.

BACA LAGI:PM Anwar sampaikan sumbangan buat Ibnor Riza, pelakon Fuziah Samad

Pada 2 Disember lalu, beliau menjalani pembedahan di HCTM bagi membuang air pada bahagian kanan kepala susulan kanser limfoma dihadapinya sudah merebak ke otak.

Ibnor bagaimanapun tidak sedarkan diri selepas pembedahan dijalankan.

Kemudian, dia sekali lagi menjalani pembedahan susulan kerana ada pendarahan pada bahagian kepalanya Rabu lalu dan dilapor berada dalam keadaan kritikal.

Allahyarham mulakan kejaya seninya sejak 1984 dengan menyertai pertandingan Bintang RTM.

Merupakan kakitangan kerajaan beliau bagaimanapun bersara awal kerana memilih untuk menumpukan perhatian terhadap kerjaya seni pada 1993.

Antara lagu terkenal dendangan Allahyarham adalah Mimpi Tak Sudah, Meneka Dalam Kesamaran, Berdiri Seorang Perindu, Suka Terluka Merindu Pula dan banyak lagi.

Related Articles

Back to top button