ekonomi

Pengasingan kementerian penting untuk fokus kepada kemajuan ekonomi – Fahmi

Pengasingan Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital bertujuan untuk memberi fokus khusus terhadap kemajuan sektor ekonomi digital negara.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, pengasingan kementerian itu susulan sesi perbincangannya dengan pasukan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas didapati terdapat beberapa aspek dalaman yang perlu diselaraskan berikutan sektor ekonomi digital sebelum ini merentasi empat kementerian.

“Dari segi startup dan venture capital, itu berada dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, bagi skillup dan mewujudkan kilang pula di bawah Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), yang berada dalam KKD waktu itu. Dari segi pelaburan ia diusahakan oleh Malaysian Investment Development Authority (MIDA) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, manakala pelaporan melibatkan MyDigital Corp berada dengan Kementerian Ekonomi.

“Jadi apabila berbincang dengan industri, terdapat sedikit kegusaran, apabila ada empat kementerian usahakan isu sama. Maka saya sampaikan kepada Perdana Menteri – apa kata kita kumpulkan semua agensi di bawah satu kementerian khusus,” katanya.

BACA LAGI: Fahmi dan Gobind bakal bincang, kenal pasti peranan kementerian masing-masing

Fahmi berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan satu program di Dataran Sri Angkasa Jaya di Kuala Lumpur pada Ahad.

Sementara itu Fahmi berkata langkah mengasingkan kementerian dilihat penting berikutan sektor ekonomi digital negara dijangkakan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah 25.5 peratus menjelang tahun 2025.

“Perdana Menteri tegaskan tiada ‘honeymoon period’, hit the ground running. Bererti semua menteri perlu bekerja, jadi saya lihat pengasingan ini akan dapat memberi fokus,” katanya.

Related Articles

Back to top button