Sukan

Malaysia jadi tuan rumah Kejohanan Dunia Mobile Legends M6 tahun hadapan

Malaysia akan menjadi tuan rumah Kejohanan Dunia Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) M6 pada tahun hadapan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS) Adam Adli Abd Halim mengumumkan perkara itu dalam ucapan di Final Kejohanan Dunia MLBB M5 2023 di Manila, Filipina pada Ahad.

Melahirkan rasa bangga dengan penganjuran itu, beliau berkata MLBB M6 menjadi satu daripada acara penting negara setelah Malaysia sebelum ini pernah menjadi tuan rumah bagi acara sama pada 2019.

“Dalam kita berkumpul di sini untuk menyambut final M5, saya teruja untuk mengumumkan Malaysia akan menjadi tuan rumah untuk Kejohanan Dunia Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) M6 pada 2024.

“M6 akan menjadi peristiwa diingati di dalam negara dan kami mengalu-alukan pemain, peminat dan penggemar e-sukan dari seluruh dunia untuk mengalami layanan baik tiada tandingan yang diberikan rakyat Malaysia,” katanya.

BACA LAGI:KBS galak lebih banyak acara e-sukan bertaraf dunia, mahu Malaysia jadi hab Asia Tenggara

Justeru beliau turut mengalu-alukan semua peminat e-sukan dunia untuk datang ke Malaysia bagi memeriahkan acara itu.

Kejohanan Dunia M5 yang berlangsung di Manila dari 2 Disember dan berakhir semalam menyaksikan sejumlah 16 pasukan bertanding.

Wakil Malaysia, Team SMG dan Homebois walau bagaimanapun gagal melepasi peringkat kumpulan.

Related Articles

Back to top button