Krisis Gaza: PM Anwar tempelak hipokrit negara barat melalui wawancara bersama The Nikkei
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka menempelak sikap hipokrit negara-negara tertentu dalam menangani krisis Gaza.
Melalui wawancara eksklusif dengan kumpulan media utama Jepun, The Nikkei yang dikendalikan oleh wartawan Norman Goh di luar Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun, Anwar mengingatkan apa yang berlaku di Gaza merupakan krisis kemanusian yang perlu ditangani segera.
“Saya muak dengan hipokrasi ini. Ini bukan politik. Ini adalah isu kemanusiaan. Saya boleh katakan bahawa hipokrasi sedemikian (berlaku) di banyak negara yang kononnya mempromosikan demokrasi dan hak asasi manusia,” katanya melalui awancara itu disiarkan akhbar kewangan terbesar di dunia itu.
Beliau sementara itu turut menyelar sikap Amerika Syarikat yang baru-baru ini menggunakan kuasa veto bagi menghalang gencatan senjata segera di wilayah bergolak itu.
“Perjanjian gencatan senjata yang berkekalan sukar dicapai apabila Amerika Syarikat menolak resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Gaza yang menggesa “gencatan senjata kemanusiaan segera.” katanya melalui wawancara itu.
Dalam wawancara sama, Anwar turut menyentuh isu pelanggaran hak asasi manusia di Myanmar selepas rampasan kuasa tentera pada Februari 2021.
BACA LAGI: PM Thai ucap penghargaan kepada Anwar bantu rundingan bebas tahanan di Gaza
Beliau menekankan mengenai usaha yang dijalankan oleh ASEAN menerusi konsensus lima perkara untuk mencari penyelesaian terhadap isu di Myanmar.
Mengenai ketegangan di Laut China Selatan dengan beberapa negara anggota ASEAN, termasuk Malaysia yang terbabit dalam tuntutan wilayah yang bertindih dengan China, Anwar menekankan mengenai perlunya untuk mengelakkan persengketaan dan mengekalkan hubungan yang baik dengan China.
“Tidak sewajarnya sesebuah negara membuat keputusan sepihak mengenai kedaulatan dan integriti wilayah. Dan kita sepatutnya berunding bersama dalam kalangan ASEAN atau secara dua hala,” katanya, lapor Nikkei Asia.