Semasa

Inisiatif terbaharu tambang percuma buat OKU mudahkan kebolehcapaian – Nancy Shukri

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyambut baik baik pengumuman pemberian tambang percuma perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata inisiatif itu membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan hari ini adalah kerajaan yang cakna dan prihatin terhadap kebajikan rakyat.

Inisiatif itu jelasnya akan membuka lebih banyak peluang dan memudahkan kebolehcapaian untuk komuniti berkenaan.

“Inisiatif amat bermakna ini boleh membuka lebih banyak peluang dan memudahkan kebolehcapaian untuk komuniti OKU dan tentu sekali menyokong usaha kerajaan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam pembangunan masyarakat lebih inklusif di Malaysia demi pengukuhan kesejahteraan sosial rakyat,” katanya melalui satu kenyataan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada Rabu mengumumkan semua pemegang kad OKU dapat menikmati tambang percuma bagi semua perkhidmatan pengangkutan awam di bawah Prasarana bermula 1 Feb 2024.

Ia membabitkan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), monorel dan Bas Rapid di sekitar Lembah Klang.

BACA LAGI: Tambang percuma perkhidmatan pengangkutan Prasarana untuk golongan OKU

Sementara itu Nancy dalam kenyataan sama turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pengangkutan atas pelancaran Projek Rintis Koc Wanita MRT Laluan Kajang dalam usaha mengurangkan risiko gangguan seksual terhadap wanita semasa menggunakan pengangkutan awam bagi memberi lebih keyakinan dan rasa selamat dalam kalangan penumpang wanita.

“Ini juga selaras dengan fokus kerajaan untuk menyediakan ekosistem yang terbaik dalam meningkatkan penyertaan wanita ke dalam pasaran buruh tempatan,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button