Semasa

Mahkamah Tinggi perintah Zuraida bayar RM10 juta kepada KEADILAN

BEKAS Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin diperintah membayar RM10 juta kepada Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) kerana berpaling tadah.

Pada PRU15, Zuraida hilang deposit di Ampang

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Akhtar Tahir  membuat keputusan itu selepas mendapati hujahan Zuraida bahawa bon itu ditandatanganinya atas alasan dipaksa adalah tidak berasas. 

“Bukti menunjukkan Zuraida menandatangani bon itu dengan pengetahuan penuh mengenai kandungannya.

“Zuraida menandatanganinya secara sukarela kerana mahu bertanding dalam pilihan raya atas tiket KEADILAN,” katanya.

Mahkamah juga memerintahkan Zuraida membayar kos RM50,000 kepada KEADILAN.

KEADILAN memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan pada 28 September 2020 melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, selaku plaintif dengan menamakan Zuraida selaku defendan.

Ketika prosiding kes pada Mac lalu, Saifuddin selaku saksi berkata, Zuraida tidak mendapat undi daripada pengundi Ampang kerana kekuatan atau peribadi beliau sebaliknya hanya mengharapkan nama, logo dan sepanduk parti.

Saifuddin menambah, kenyataan itu disokong dengan kekalahan Zuraida di Ampang pada PRU15 ketika bertanding atas tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM).

“Jika tidak kerana nama parti, logo dan sepanduk, defendan akan kalah pada PRU14. Ini juga bukan andaian sebaliknya telah dibuktikan apabila defendan (Zuraida) bertanding di tempat sama P99 Parlimen Ampang menggunakan tiket parti berbeza namun telah tewas serta hilang wang deposit,” katanya.

Sementara itu dalam penghakimannya, Akhtar turut menegaskan dakwaan Zuraida bahawa RM10 juta adalah tidak seimbang dengan jumlah yang dibelanjakan untuk pencalonan pilihan raya juga tidak berasas.

“Defendan sendiri mengakui bahawa plaintif membelanjakan jumlah melebihi RM10 juta untuk pencalonan.

“Ini adalah pengakuan jelas di pihak defendan bahawa beliau tidak boleh menarik balik.

“Mahkamah selanjutnya memutuskan bahawa RM10 juta adalah jumlah munasabah kerana bon itu untuk menghalang ahli terutama calon dipilih bertindak bertentangan dengan kepentingan parti pada pilihan raya,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button