Kerajaan umum Razarudin dilantik IGP, Ayob Khan jadi timbalan
TAN SRI Razarudin Husain dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu selama dua tahun secara kontrak selepas bersara, berkuat kuasa Jumaat ini.
Pelatikan akan berkuatkuasa Jumaat ini |
Perkara itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan hari inu.
Menurut Saifuddin, pelantikan itu mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.
“Adalah dimaklumkan bahawa seperti yang termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat perdana menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis telah memperkenan pelantikan secara kontrak selepas bersara Razarudin Husain @ Abd Rasid sebagai ketua polis negara selama dua tahun berkuatkuasa mulai 23 Jun 2023 sehingga 22 Jun 2025,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Razarudin berumur 61 tahun menggantikan Acryl Sani Abdullah Sani yang akan mengakhiri tugasnya sebagai ketua polis negara pada Khamis ini.
Acryl memilih bersara empat bulan lebih awal daripada yang sepatutnya mengikut kontraknya dan setelah dilapor menerima tawaran mengetuai sebuah institusi di bawah Kementerian Kewangan (MOF).
Sementara itu, Saifuddin turut mengumumkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.
“Kerajaan mengucapkan syabas dan tahniah di atas kedua-dua pelantikan itu” kata Saifuddin lagi.