PM gesa agresif jayakan reformasi, inisiatif ekonomi dirancang
PERDANA MENTERI memaklumkan Mesyuarat Khas Perdana bersama Ahli Jemaah Menteri dan Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian mengenai Kajian Separuh Penggal, Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12)bersetuju supaya semua pihak perlu bergerak sebagai satu pasukan.
Semua pihak perlu bergerak sebagai satu pasukan |
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu perlu bagi memastikan pelaksanaan reformasi dan inisiatif ekonomi yang dirancang kerajaan dapat dipercepatkan.
Tambahnya, mesyuarat tersebut turut membincangkan hala tuju baharu (2023-2025) yang perlu dibentangkan dalam KSP RMK-12 bagi memastikan ekonomi negara kekal kukuh dan berada di landasan yang tepat ke arah mencapai agenda Malaysia Madani.
“KSP RMK-12 merupakan dokumen dasar yang signifikan dalam menentukan hala tuju pembangunan sosioekonomi negara yang seimbang dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan berteraskan nilai-nilai murni,” katanya menerusi satu catatan di Facebook.
Mengulas lanjut mengenai KSP RMK12, beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan, kajian itu nanti perlu menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menyelesaikan masalah rakyat susulan daripada perubahan dan cabaran sosioekonomi semasa.
“(Oleh itu) Input-input daripada semua kementerian akan diambil kira dalam penyediaan KSP RMK12 ini.
“Sehubungan itu, semua kementerian perlu lebih serius serta bertindak dengan lebih proaktif, agresif dan berani bagi menyelesaikan isu-isu pelaksanaan dasar, terutamanya berkaitan rakyat mengikut lunas perundangan sedia ada,” tambahnya.