Opcom: SPRM akan teliti pendedahan PM
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti dakwaan isu Telekom Malaysia Berhad (Telekom) mengeluarkan surat untuk meminta kebenaran mengadakan rundingan terus dengan Opcom Sdn Bhd (Opcom) bagi pembekalan kabel fiber optik bernilai RM214.2 juta.
Pendedahan dibuat Anwar melalui dokumen mahkamah |
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dipetik laporan media berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan sekiranya ada aduan dan mempunyai asas di bawah kesalahan rasuah.
“Sekiranya terdapat maklumat dan aduan yang mempunyai asas di bawah kesalahan rasuah, maka SPRM mempunyai asas untuk jalankan siasatan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ketiga Pemerhati Rasuah Malaysia di Universiti Putra Malaysia, di sini, pada Sabtu.
Media pada Khamis melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Telekom mengeluarkan surat untuk meminta kebenaran mengadakan rundingan terus dengan Opcom bagi pembekalan kabel fiber optik bernilai RM214.2 juta.
Surat berkenaan dikeluarkan kepada Kementerian Kewangan pada 15 September 2003, yang mana Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu adalah Tun Dr. Mahathir Mohamad, manakala anak ketiganya, Datuk Seri Mukhriz adalah Pengarah Opcom.
Menerusi pembelaan terhadap saman difailkan Mahathir, Perdana Menteri berkata, Telekom adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mana Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) memegang satu saham khas yang memberikan MKD kuasa untuk menolak keputusan lembaga dan pemegang saham lain.
Beliau berkata, MKD pada masa itu berada di bawah kawalan dan arahan Mahathir yang juga Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Katanya, Kementerian Kewangan pada 7 Oktober 2003 mengeluarkan surat untuk meluluskan permohonan Telekom untuk rundingan terus berkenaan.