Nasional

Kerajaan pertimbang perkenal Kad Siswa Rahmah

KERAJAAN mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula kad diskaun kepada pelajar institut pengajian tinggi (IPT), kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup

 Cadangan  tersebut akan dibincangkan

Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, cadangan itu adalah usaha membantu mengurangkan beban dan menjaga kebajikan golongan berkenaan.

Pada sidang akhbar Program Jelajah Rahmah dan Townhall Menteri KPDN Bersama Rakyat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak, Seri Iskandar pada Sabtu, beliau menjelaskan perbincangan mengenainya akan dilakukan bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengajian Tinggi dalam masa terdekat.

“Ini kerana ia berada di luar bidang kuasa saya tetapi idea itu boleh dipanjangkan sepertimana banyak program Rahmah dilaksanakan untuk siswa seperti menu makanan berharga di bawah RM5.

“Program-program ini diadakan untuk memudahkan mereka mendapatkan makanan di universiti, malah ada ‘food bank’ untuk mereka yang memerlukan mendapatkan barangan tertentu secara percuma,” katanya 

Sebelum ini, Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KDS1M) direka untuk berfungsi sebagai kad debit, ATM dan diskaun hingga 60 peratus untuk pelbagai produk bagi penuntut IPT.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, kerajaan turut bercadang meneruskan Jualan Rahmah di kesemua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara secara bergilir-gilir bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.  

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button