Nasional

100 mesin layan diri ‘Insan’ IPR bakal beroperasi pada Jun

SEBANYAK 100 buah mesin layan diri pertama Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) telah melalui proses perolehan, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Inisiatif kementerian atasi kemiskinan tegar

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan tapak mesin layan diri IPR di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Petaling Jaya pada Rabu, Naib Presiden KEADILAN itu memaklumkan, kesemua mesin layan diri itu dijangka akan beroperasi di tempat awam pada Jun ini. 

Melalui inisiatif yang ideanya dicetuskan Rafizi itu, peserta dijangka mampu menjana pendapatan sendiri, sekali gus membolehkan mereka keluar daripada kancah kemiskinan dalam tempoh dua tahun.

Berbeza dengan mana-mana inisiatif membasmi kemiskinan sebelum ini, aset-aset terbabit adalah milik kerajaan yang membolehkan hanya peserta layak dari segi sosioekonomi dan benar-benar berminat untuk menaik taraf pendapatan mereka dipilih menyertai program itu. 

Peserta program yang terpilih hanya perlu menyediakan modal bagi kos makanan dan tidak akan dikenakan sebarang sewaan mesin dan elektrik yang akan ditanggung rakan strategik program berkenaan. 

Difahamkan setakat ini, sebanyak 10,000 permohonan diterima bagi mesin layan diri sejak IPR dilancarkan pada Februari lepas.

Sementara itu menurut Rafizi, sebanyak 5,000 buah mesin disasarkan tahun ini untuk ditempatkan di antaranya stesen Transit Aliran Massa (MRT), hospital dan universiti di seluruh negara. 

“Proses tersebut mengambil masa kerana kita melalui perolehan secara terbuka. Kementerian Kewangan telah meluluskan perolehan seterusnya iaitu untuk menjemput semua syarikat-syarikat yang layak dan berkemampuan menyediakan 4,900 mesin seterusnya”, tambahnya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button