KPT sahut cabaran PM, bakal laksana anjakan paradigma
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melaksana anjakan paradigma sebagai menyahut cabaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata sudah tiba masanya IPT keluar daripada persekitaran biasa dengan bertindak lebih pantas bagi memastikan dunia pendidikan tinggi negara tidak ketinggalan.
Anjakan itu jelasnya akan memberi penekanan kepada pelaksanaan segera dasar, program serta langkah intervensi bagi memastikan institusi pengajian tinggi (IPT) mampu bersaing di peringkat dunia.
“Kita tidak ada masa untuk berada dalam lingkungan yang biasa-biasa dan mengikut sahaja sedangkan ada hal yang tidak perlu mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan,” katanya selepas menutup Wacana Strategi KPT di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Terdahulu Anwar pada Jumaat melontar cabaran kepada KPT memberikan lebih banyak ruang dan kelonggaran kepada kepimpinan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk mewujudkan idea baharu dalam bidang pendidikan negara dalam mendepani cabaran dalam dunia pasca normal bagi memastikan negara tidak ketinggalan.
BACA LAGI: PM Anwar gesa KPT bertindak pantas lakukan perubahan dasar pendidikan tinggi
Sementara itu Zambry ketika menyentuh wacana dua hari itu berkata, hasil perbincangan antara IPT, pemain industri dan pihak berkepentingan yang terbabit akan diguna pakai KPT dalam menetapkan sasaran kerja bagi tahun ini.
“Ia juga memberi peluang untuk kami mengukuhkan perkara yang telah dirancang dengan mendengar pandangan pihak luar tentang program serta rancangan sedia ada KPT,” katanya.
Selain itu, Zambry turut menjelaskan akan meneruskan dasar dan perancangan KPT sebelum ini yang dipersetujui sama ada di peringkat universiti, politeknik dan kolej komuniti.