Menteri KKR sambut baik arahan terbaharu PM
ARAHAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar projek infrastruktur kecil dipindahkan kepada jabatan lain atau pejabat daerah disambut baik Kementerian Kerja Raya (KKR)
Langkah diumum PM ringan beban JKR |
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu selain dapat mengurangkan beban Jabatan Kerja Raya (JKR) membolehkan jabatan itu memberi fokus kepada pelaksanaan projek infrastruktur yang lebih kompleks dan berskala besar.
Tambahnya, arahan itu berpatutan kerana projek infrastruktur kecil seperti membaiki kerosakan kecil sekolah, klinik, parit kecil dan pembaikan pagar tidak melibatkan aspek teknikal yang kompleks serta aspek keselamatan pembinaan yang ketat.
“Ini sejajar dengan Arahan Perbendaharaan 182 di mana kementerian/jabatan/agensi (KJA) boleh melaksanakan sendiri kerja penyenggaraan membaiki kerosakan kecil yang tidak melibatkan struktur bangunan atau kerja elektrik yang bernilai tidak melebihi RM200,000 dengan mematuhi semua peraturan yang berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Terdahulu Anwar pada Isnin mengarahkan projek infrastruktur kecil seperti baik pulih sekolah dan klinik daif di bawah seliaan JKR dipindahkan kepada jabatan lain atau pejabat daerah.
Tambah beliau, pertemuan dengan semua pegawai daerah akan diadakan minggu depan bagi memberi taklimat agar mereka dapat menjalankan tugas pelaksanaan terbabit.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, bagi memastikan projek infrastruktur dapat dibangunkan dengan cepat dan berkesan, JKR tidak lagi boleh dibebankan kerana jabatan itu mempunyai tanggungjawab besar terutama membabitkan projek seperti lebuh raya dan tebatan banjir.
Sementara itu Alexander Nanta berharap selepas ini projek-projek yang diberikan pelepasan dapat dilaksanakan dengan lancar mengikut amalan terbaik kejuruteraan dan peraturan-peraturan semasa yang berkuat kuasa demi kepentingan rakyat Malaysia.