Majlis Menteri Wilayah diaktifkan semula
Majlis Menteri Wilayah diaktifkan semula bagi menyalurkan input dalam merancang dan menggubal dasar serta strategi pembangunan di Kuala Lumpur.
Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan pada Selasa.
“Mesyuarat ini berfungsi untuk menyalurkan input dalam merancang dan menggubal dasar serta strategi pembangunan di Kuala Lumpur.
“Selain itu, mesyuarat ini juga akan menjadi platform untuk menyelesaikan isu-isu dasar berdasarkan pelaporan perkara-perkara yang telah diputuskan pada Mesyuarat Konsultasi Datuk Bandar Kuala Lumpur Bersama Ahli Parlimen Kuala Lumpur,” kata Dr Zaliha.
Kenyataan itu menyusul selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Menteri Wilayah Bilangan 1 Tahun 2024 pada Selasa.
Dalam mesyuarat yang diadakan itu terdapat sembilan (9) isu dasar yang menjadi tumpuan dibincangkan dan akan diambil tindakan.
BACA LAGI: Dr Zaliha tekad tangani isu bebani warga kota
Sementara itu Dr Zaliha menjelaskan, Majlis itu akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan dianggotai oleh semua Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan wakil-wakil dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Mesyuarat akan diadakan setiap tiga bulan sebagai langkah berterusan dalam menangani perkembangan dan keperluan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, selain berperanan penting dalam memastikan setiap keputusan dan langkah strategik adalah berasaskan keperluan semasa dan mengambil kira harapan rakyat di Kuala Lumpur,” tambahnya.