ekonomi

Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif tidak wajib, ambil kira kemampuan majikan – Rafizi

Kerajaan tiada kuasa untuk mewajibkan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif kerana perlu mengambil kira kemampuan syarikat, majikan dan ekonomi negara.

Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli berkata, dasar itu tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana ia bersifat sukarela dan melibatkan insentif kerajaan.

Katanya, pelaksanaan itu perlu mengambil kira kesediaan majikan kerana kira-kira 97 peratus daripada entiti perniagaan di negara ini terdiri daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Kalau kita hendak wajibkan PMKS ini misalnya, mungkin ada (majikan) gulung tikar, daripada kita hendak naikkan gaji (pekerja) ada yang hilang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Geran di bawah Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan Sesi Townhall bersama Kepimpinan Mahasiswa UiTM Cawangan Selangor di DK500 Kampus Puncak Alam di Kuala Selangor, malam tadi.

Turut ditanya mengenai Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), Rafizi berkata, perkara itu akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Soal gaji kakitangan awam itu berada dalam keputusan kerajaan, cuma kerajaan akan memastikan bahawa kewangan mencukupi, mampan dan perkara itu akan diuruskan Perdana Menteri,” kata beliau.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, kementeriannya dan Kementerian Sumber Manusia lebih memberi tumpuan kepada gaji sektor swasta yang juga mempunyai cabaran berbeza.

“Ini bukan semata-mata soal wang, tetapi bagaimana kita hendak meyakinkan majikan untuk sama-sama menaikkan gaji secara berperingkat,” tambah beliau.

Related Articles

Back to top button