Semasa

JHEV akan bantu veteran terjejas bencana banjir – Timbalan Menteri Pertahanan

Kementerian Pertahanan mengambil maklum nasib anggota dan veteran yang terkesan bencana banjir akibat fenomena Monsun Timur Laut (MTL) yang berlaku di Kelantan dan Terengganu baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, bagi veteran ATM yang terjejas banjir di kedua-dua negeri itu, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) akan melihat beberapa aspek bantuan iaitu pembaikan rumah dan keperluan selepas banjir.

“Sekiranya ada rumah yang terjejas banjir yang membabitkan kerosakan, kami akan membuat penilaian membantu meringankan beban mereka.

“Kementerian Pertahanan sememangnya sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan anggota dan veteran,” katanya dalam satu sidang media.

BACA LAGI: Enam inisiatif bantu petani, penternak, peladang dan nelayan terjejas akibat banjir

Adly sebelumnya mengadakan Lawatan Pasca Banjir Peringkat Kelantan di Padang Kawad, Markas 8 Briged, Kem Pengkalan Chepa, Kota Bahru pada Khamis yang turut dihadiri Panglima Briged Kelapan Infantri, Brigedier Jeneral Muzamil Ali.

Dalam perkembangan lain, Adly berkata, pada tahun lalu, JHEV ATM memperuntukkan sebanyak RM62,570,474.35 dan seramai 33,042 veteran ATM menerima manfaat daripada pelbagai skim kebajikan.

“Terdapat lima skim iaitu Bantuan Sara Hidup, Bantuan Persekolahan, Bantuan Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi, Bantuan Peralatan Pesakit dan Bantuan Bencana Alam.

“Program bantuan kewangan ini diberikan bagi menjaga kebajikan veteran ATM dan tanggungan mereka yang berkelayakan agar dapat memperbaiki dan menjalani kehidupan yang lebih selesa,” katanya.

Katanya, selain itu, Program Peduli Veteran di seluruh negara akan diteruskan dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 800 program dilaksanakan setiap tahun.

Related Articles

Back to top button