Semasa

Perlekeh masyarakat India, Mahathir cuba alih perhatian kes Daim?

Dr Mahathir Mohamad didakwa cuba mengalihkan perhatian rakyat terhadap siasatan rasuah melibatkan Daim Zainuddin apabila membuat kenyataan menuduh masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara

Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Dr Sathia Prakash Nadarajah, dipetik laporan Malaysiakini berkata ada kemungkinan bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu bimbang jika dirinya menjadi orang yang seterusnya dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita semua tahu, Dr Mahathir sering membuat kenyataan-kenyataan kontroversi untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu melibatkan dia.

“Kali ini, dia buat perkara yang sama untuk mengalihkan siasatan rasuah terhadap Daim, sebab dia takut akan dipanggil selepas ini,” katanya dipetik.

Bercakap dalam temu bual eksklusif dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV, Mahathir berkata seseorang itu harus dikenali sebagai orang Melayu untuk berhak untuk menganggap Malaysia sebagai negara sendiri.

Katanya, orang India Malaysia tidak bercakap bahasa Melayu sebagai bahasa asal mereka, Tamil.

Mahathir kemudian berkata bahawa “masalah” dia ialah apabila “pendatang” (merujuk kepada kaum India dan Cina) menganggap Malaysia sebagai negara sendiri tapi pada masa sama terus mengamalkan budaya dan adat mereka sendiri.

Sathia Prakash sementara itu berkata, kenyataan terbaharu Mahathir jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang jelas melindungi hak semua kaum yang menjadi rakyat negara ini.

Jelasnya, Mahathir ketika menjadi perdana menteri bagi kali kedua berkata bahawa orang Melayu yang bercakap dalam bahasa Inggeris bukan bermaksud dia tak cukup Melayu.

BACA LAGI: PM Anwar enggan ulas serangan, hanya pesan Tun Mahathir jaga kesihatan

“Tapi, dalam temu bual baru-baru ini, dia berkata masyarakat India perlu menerima pakai bahasa dan budaya Melayu sepenuhnya untuk dianggap sebagai anak Malaysia.

“Apa maksud dia? Dulu dia kata orang Melayu perlu kuasai bahasa Inggeris masih dianggap anak Malaysia, tapi masyarakat India berbahasa Tamil dianggap tak setia kepada Malaysia. Jelas dia bercanggah,” katanya yang turut mencabar pemimpin PN menyatakan pendirian mereka berhubung kenyataan yang dibuat Mahathir itu.
.

Related Articles

Back to top button