Politik

‘Melayu malas kecuali Tun M, India dan Cina kurang setia kecuali kroninya’ – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa masyarakat India tidak setia kepada negara kerana ‘masih terikat dengan negara asal’.

Anwar berharap rakyat terutama generasi muda tidak melayan kenyataan Tun Mahathir yang disifatkan sebagai lapuk.

“Saya tak rasa kenyataan Tun Mahathir itu relevan, itu satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab sebagai seorang mantan Perdana Menteri sekian lama. Kemudian menghina mana-mana kaum tak kira sama ada minoriti atau majoriti.

“Dia (Tun Mahathir) memang terkenal… Melayu bagi dia malas melainkan dia, India dan Cina dianggap kurang setia melainkan beberapa kroni dia.

“Ini pemikiran lapuk yang akan merosakkan negara kita. Saya harap rakyat terutama generasi muda jangan layan pemikiran-pemikiran rosak ini kerana kita tumpu untuk angkat martabat negara kita,” kata Anwar ketika ditanya mengenai kenyataan bekas Tun Mahathir yang tular.

Terdahulu, Anwar hadir di Majlis Peluncuran Program Artifical Intelligence (AI) Untuk Rakyat di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar mendakwa Tun Mahathir cuba untuk mengalih usaha serius kerajaan membanteras rasuah dan mengamalkan tatakelola bersih selain memfokuskan kepada digital dan peralihan tenaga demi kebaikan rakyat.

Anwar berkata, baginya semua rakyat yang setia wajar dihormati tidak kiralah mana-mana kaum.

“Sebaliknya kita kita harus mendakap mereka (rakyat tanpa mengira kaum) supaya keseluruhan kekuatan rakyat ini menuju soal pokok,” katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) sedia berjumpa dengan Tun Mahathir, sekiranya beliau terus meluahkan isu-isu sensitif yang boleh memecahbelahkan perpaduan antara kaum.

Menterinya, Aaron Ago Dagang berkata kementerian tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang sengaja mencipta ketegangan.

“Kita tengok kalau dia (Tun Mahathir) masih degil, kita jumpa dia.

“Sekarang dia sudah senyap balik. Saya tak pasti, dia sudah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.Tapi, masih buat kenyataan sebegini,” katanya.

Related Articles

Back to top button