Negeri

Pahang cadang beri subsidi air kepada golongan B40

Kerajaan Negeri Pahang mempertimbangkan cadangan bagi melaksanakan subsidi air kepada golongan B40 di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjelaskan, cadangan itu akan dibincangkan antara Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan pihak yang terlibat.

“Insya-Allah kita akan melihat kenaikan tarif ini di mana kemungkinan kita akan memberi sedikit subsidi atau bantuan kepada golongan B40 yang terlibat, sekarang perkara ini masih dikaji dan diperhalusi.

“Ia memerlukan sedikit masa kerana perkara ini baru diumumkan dan perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan belum dimulakan,” katanya kepada pemberitan.

Wan Rosdy sebelumnya hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pahang Skills, E&P O&M Services Sdn Bhd dan Universiti Teknologi Petronas di Kuantan pada Rabu.

Terdahulu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan pelarasan tarif air yang akan dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif bagi pengguna kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula Febuari ini.

BACA LAGI: Kenaikan tarif air mulai 1 Februari masih rendah – SPAN

Mengulas keputusan tersebut, Wan Rosdy menyifatkan ia wajar dilaksanakan.

“Kadar harga air di Pahang kekal 37 sen sejak 40 tahun lalu dan melalui pelaksanaan kadar baharu ini harga air dijangka dinaikkan kepada 78 sen.

“Melalui tarif baharu itu dijangka akan memberi hasil kira-kira RM80 juta setahun kepada kerajaan negeri.

“RM80 juta itu jangkaan kita namun sekiranya subsidi diberikan mungkin jumlahnya menurun dari sasaran itu. Hasil air ini akan digunakan kembali untuk menaik taraf perkhidmatan air di negeri ini,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button