Semasa

PM Anwar: jangan terbawa-bawa sentimen tidak menguntungkan

Pemimpin masyarakat India diingatkan supaya tidak terbawa-bawa dengan sentimen melampau yang tidak akan menguntungkan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis bersama komuniti India berkata, semua kaum ketika ini membuat tuntutan supaya masalah mereka diselesaikan segera oleh kerajaan, namun dalam menghadapi tuntutan itu, kerajaan jelasnya menggunakan konsep Madani yang adil untuk semua pihak.

“Ada dalam kalangan kaum saya sendiri menyerang kita, mengatakan (kerajaan) tidak adil, (tetapi) saya tidak mahu jawab.

“Saya hanya mahu ceritakan apa yang kita lakukan. Kemiskinan di Klang misalnya, kita mahu tumpukan itu, kita nak menjaga nasib rakyat dengan menoktahkan kemiskinan tegar,” katanya.

Anwar berkata begitu dalam ucapan pada sambutan Pesta Ponggal Kebangsaan 2021, di Petaling Jaya malam tadi yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Anwar dalam ucapannya mengakui, ketika ini kerajaan masih belum menyelesaikan semua masalah yang dihadapi kaum, tetapi empat perkara iaitu kemiskinan, pendidikan, kesihatan rakyat dan peluang perniagaan diberi perhatian utama.

BACA LAGI: 14 Ogos dicadang sebagai Hari Kaligrafi Perpaduan Nasional 

Namun bagi masyarakat India, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi membantu mereka.

“Untuk menyelesaikan masalah kaum India, kita bukan saja memberikan peruntukan RM100 juta melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) saja, sebaliknya kita juga selesaikan melalui program lain seperti tandas sekolah, kemiskinan tegar, rumah penjawat awam dan RM30 juta melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN).

“Saya juga meminta semua kementerian termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Perpaduan mengenal pasti masalah rakyat tanpa mengira kaum.

Anwar sementara itu berkata, pentadbirannya sentiasa mendengar kritikan dilontarkan, namun menggesa agar hujah melampau yang menyentuh isu perkauman dielakkan.

Related Articles

Back to top button