Nasional

PM rayu supaya rakyat budayakan semula amalan membaca

PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru masyarakat terutama golongan muda agar memupuk semula budaya membaca.

Budaya membaca lahirkan masyarakat berilmu

Dalam ucapan perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, budaya membaca antara intipati penting ke arah merealisasikan konsep Malaysia Madani.

“Budaya membaca ini budaya iqra’, maknanya tradisi membaca dan ilmu itu sebati dan serasi dengan kefahaman kita tentang Islam.

“Negara Malaysia dan Malaysia Madani tidak mungkin terangkat tanpa akhlak, tanpa nilai dan tanpa kesediaan anak-anak untuk membudayakan ilmu melalui pembacaan yang luas.

“Saya hendak gesa secara serius, negara ini harus diangkat menjadi negara MADANI yang ada ilmu, yang ada nilai, yang ada ihsan, ada rahmah. Semua itu boleh dipupuk melalui semangat membaca dan menimba ilmu,” katanya sambil menegaskan kebangkitan anak muda perlu bermula dengan kekuatan ilmu. 

Dalam ucapan sama, Anwar turut menyeru warga pendidik dan ibubapa agar menekankan budaya membaca dari peringkat awal.

Tanpa mempertikai kepentingan media sosial, beliau menyatakan pandangan bahawa amalan membaca dapat membentuk keperibadian seseorang menjadi lebih berilmu dan memiliki nilai akhlak baik. 

“Ucapan saya hari ini adalah ucapan merayu, memujuk, menyeru, mendesak serta mengasak pemikiran anak-anak muda supaya tukar sikap kita dan mulakan satu budaya, budaya baca yang bersungguh-sungguh dalam kalangan kita,” katanya.

Pada ucapan sama, bekas Menteri Pendidikan itu meminta semua pihak agar memanfaatkan kekuatan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu selain bahasa kebangsaan bagi memartabatkan Bahasa Melayu di negara ini.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button